Friday, December 11, 2009

Trio wanita kita terlepas emas


VIENTIANE – Skuad menembak Malaysia terlepas pingat emas acara 10 meter air rifel wanita berpasukan gara-gara perbezaan melakukan tembakan markah penuh menyebabkan kejuaraan menjadi milik Thailand, semalam.

Ia merupakan pingat perak pertama kontinjen negara pada temasya kali ini menerusi gandingan Shahera Rahim Raja, Nur Suryani Mohamad Taibi dan Nur Ayuni Farhana Abdul Halim.

Trio menembak Malaysia menamatkan saingan sama 1,167 mata dengan Singapura dan Thailand.

Ini menyebabkan kelebihan melakukan tembakan markah penuh atau X-ring digunakan bagi menentukan pemenang.

Kelebihan melakukan X-ring memihak kepada Thailand yang mengumpul 72 mata manakala trio Malaysia sekadar 63 mata.

Singapura yang mengumpul 62 mata X-ring meraih gangsa.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Menembak Kebangsaan (NSAM), Mejar Jasni Shaari berkata, dia akur dengan keputusan tersebut dan menyifatkan pingat pertama acara menembak sebagai permulaan yang baik pada temasya kali ini.

“Saingan acara ini memang sengit sehingga tiga pasukan terikat sama mata tetapi kita kurang dari segi kekerapan melakukan tembakan ke sasaran markah penuh, menyebabkan emas terlepas ke tangan Thailand.

“Pingat perak yang kita raih ini tetap membanggakan kerana kita berjaya mempertahankan perak yang dimenangi dalam acara ini di Korat dua tahun lalu,” katanya.

Apa yang pasti, nasib tidak menyebelahi skuad Malaysia apabila Nur Ayuni mencatan mata paling rendah iaitu 94 mata pada tembakan terakhirnya.

Menurut Jasni, catatan itu di luar kemampuan sebenar Ayuni.

“Jika Nur Ayuni berjaya menembak 95 pada tembakan terakhir, emas milik kita,” katanya. – Utusan

No comments:

Post a Comment