Monday, December 14, 2009

Hanya Indonesia jadi penghalang


LYDIA meraikan kejayaannya selepas menyumbang mata kemenangan kepada skuad badminton wanita negara semalam bagi menempah tempat ke perlawanan akhir.


VIENTIANE, Laos - Tiada siapa yang mampu menyekat Malaysia kecuali Indonesia.

Dua musuh tradisi dalam sukan badminton ini akan membuat perhitungan pada perlawanan akhir acara berpasukan bagi kategori lelaki dan wanita bagi penentuan pingat emas.

Skuad lelaki dan wanita negara mengesahkan tempat ke final selepas menjinakkan lawan masing-masing pada saingan separuh akhir yang berlangsung di Gimnasium 1, Kompleks Sukan Nasional semalam.

Tatkala barisan lelaki negara menundukkan Singapura 3-0, skuad wanita pula mudah membenam cabaran Thailand 3-0, sekali gus menempah pertemuan dengan musuh tradisi, Indonesia pada aksi final hari ini.

Ketua jurulatih negara, Rashid Sidek berkata, peluang buat skuad lelaki dan wanita untuk meraih emas tetap ada sekalipun Indonesia dilihat memiliki sedikit kelebihan.

"Atas kertas, Indonesia sememangnya pasukan pilihan pada Sukan SEA kali ini, sama ada bagi skuad lelaki mahu pun wanitanya. Tetapi kita juga memiliki kekuatan dan tidak mustahil kita mampu menewaskan Indonesia.

"Jika pemain utama negara dapat menyumbang mata sementara pemain muda dapat mencipta kejutan, saya yakin emas akan menjadi milik kita," kata Rashid ketika ditemui semalam.

Dalam saingan untuk kategori lelaki semalam, juara Seluruh England 2003, Muhd. Hafiz Hashim menyumbang mata pertama negara selepas menewaskan Derek Wong 21-15, 21-15 dalam pertarungan yang mengambil masa 30 minit.

Beregu No. 1 dunia, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong meraih mata kedua negara apabila menewaskan gandingan Hendri K. Saputra-Hendra Wijaya yang menarik diri pada set kedua. Ketika itu, Kien Keat-Boon Heong mendahului 1-0.

Pada set pertama, beregu utama negara itu menang 21-19.

Kuan Beng Hong mengesahkan kemenangan skuad lelaki negara selepas mencatatkan kemenangan 21-17, 21-17 ke atas Ashton Chen.

Sementara itu, skuad wanita negara kini berpeluang cerah untuk mengakhiri penantian 34 tahun untuk merangkul pingat emas dalam acara berpasukan.

Untuk rekod, kali terakhir skuad wanita negara memenangi pingat emas ialah pada Sukan SEA 1975 di Thailand.

Pada peringkat separuh akhir semalam, ratu negara, Wong Mew Choo menyumbang mata pertama apabila menumpaskan Salakjit Ponsana 21-15, 21-17.

Wong Pei Tty-Chin Eei Hui menghadiahkan mata kedua selepas mencatatkan kemenangan 19-21, 21-14, 21-14 ke atas gandingan Duanganong Aroonkesorn-Kunchala Voravichitchaikul sebelum Lydia Cheah mengalahkan Porntip Buranaprasertsuk 19-21, 21-18, 21-19 untuk mata ketiga negara.

No comments:

Post a Comment