Monday, December 14, 2009

Terlepas emas kerana masalah berat badan


ZULKIFLI sekadar menamatkan saingan dengan kejayaan pingat perak.


VIENTIANE, Laos - Hanya kerana berat badannya terlebih sebanyak 600gram, atlet angkat berat negara, Zulkifli Che Rose terlepas pingat emas walaupun melakukan jumlah angkatan yang sama dengan lawannya dalam acara 77kg lelaki pada Sukan SEA XXV semalam.

Pada pertandingan yang berlangsung di Gimnasium Sekolah Tinggi Pornsawan itu, Zulkifli dengan berat badan 76.88 mengangkat bebanan sebanyak 135kg dalam acara snatch sebelum melakukan 165kg dalam clean & jerk, menjadikan jumlah angkatan keseluruhan 295kg.

Atlet Vietnam, Duong Thanh Truc dengan berat badan 76.28kg, mengangkat 126kg (snatch) dan 169kg (clean & jerk) untuk angkatan keseluruhan juga sebanyak 295kg.

Bagaimanapun berat badan peserta Vietnam itu yang kurang 600gram berbanding Zulkifli membolehkannya merangkul emas manakala atlet Malaysia mendapat perak.

Pingat gangsa diperoleh atlet Myanmar yang melakukan angkatan keseluruhan 245kg (snatch - 110kg, clean & jerk 135kg).

Zulkifli, yang mempunyai rekod peribadi terbaiknya 136kg (snatch) dan 169kg (clean & jerk) yang dibuat pada kejohanan kebangsaan di Melaka tahun lepas berkata, kecederaan pangkal pahanya menyebabkan beliau tidak dapat melakukan angkatan melebihi 165kg dalam acara clean & jerk yang menjejaskan angkatan keseluruhannya.

Seorang lagi peserta negara, Nurul Farhanah Johari yang bersaing dalam acara 69kg wanita gagal menyumbangkan sebarang pingat.

No comments:

Post a Comment