Monday, December 14, 2009

Karate tidak menghampakan


SKUAD karate wanita negara yang menang emas acara kumite berpasukan bersama Puvaneshwaran (tengah) yang menang emas acara 55kg individu lelaki.


VIENTIANE, Laos - Skuad karate negara melepasi sasaran pingat yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dengan memenangi lima pingat emas berbanding tiga emas yang disasarkan pada Sukan SEA XXV.

Acara karate yang bermula Khamis lalu, melabuhkan tirainya semalam.

Selepas misi mereka berakhir, skuad karate menyumbang keseluruhan lima emas, enam perak dan dua gangsa kepada kontinjen negara.

Semalam, tiga pingat emas dan dua perak diraih iaitu menerusi atlet veteran negara, R. Puvaneswaran (lelaki bawah 55kg), G. Yamini (wanita bawah 68kg) dan kumite wanita berpasukan (Jamaliah Jamaludin, M. Vasantha, G. Vathana) pada hari terakhir saingan sukan karate yang berlangsung di Gimnasium Chao Anouvong.

Pingat perak disumbangkan oleh L.Kunasilan menerusi acara bawah 60kg lelaki dan acara kumite lelaki berpasukan yang dibarisi oleh Puvaneswaran, Kunasilan, Shaharudin Jamaludin, Mohd. Hatta Mahamut dan L. Loganeshaa.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong amat berpuas hati dengan pencapaian skuad karate negara terutama dengan pencapaian Jamaliah dan Mohd. Hatta.

"Saya akan gilap mereka untuk lebih cemerlang dan mampu menyumbang emas pada Sukan Asia 2010," katanya.

Sementara itu, Puvaneswaran, 35, yang telah beraksi dalam lapan edisi Sukan SEA dengan mengumpul lima emas daripada acara yang sama berkata edisi di Vientiane ini merupakan temasya terakhir baginya.

"Pada usia ini (35), ramai yang meragui kemampuan saya tetapi hari ini (semalam) saya telah membuktikan saya masih boleh menyumbang emas kepada negara," katanya.

Puvaneswaran bagaimanapun terkilan kerana tidak dapat menamatkan kemarau emas selama 15 tahun dalam acara kumite berpasukan lelaki apabila pasukannya sekadar meraih perak selepas tewas 9-12 kepada pemenang pingat emas, Indonesia.

Beliau yang akan menjadikan saingan Sukan Asia di Guangzhou, China tahun depan sebagai penamat kariernya sebagai atlet berkata selepas temasya sukan terbesar di Asia itu, dia akan bertukar angin menjadi jurulatih.

No comments:

Post a Comment