Monday, December 14, 2009

Terjun terus tuai emas


PANDELELA (kiri) dan Traisy menguasai acara terjun 10 meter platform wanita selepas menamatkan saingan dengan pingat emas dan perak semalam.


VIENTIANE, Laos - Seperti diramal, skuad terjun negara tidak menghadapi masalah untuk menambah pungutan pingat emas pada Sukan SEA XXV di Pusat Renang, Kompleks Sukan Nasional semalam.

Selepas Bryan Nickson Lomas menyumbang emas dalam acara 10 meter platform lelaki kelmarin, semalam dua lagi pingat emas hadir menerusi Pandelela Rinong dan Yeoh Ken Nee, masing-masing bagi acara 10m platform wanita dan 3m papan anjal lelaki.


KEN NEE mempertahankan pingat emas dalam acara terjun 3m papan anjal lelaki semalam.


Pandelela mengesahkan emas selepas mengumpul keseluruhan 362.95 mata.

Lebih manis, apabila pingat perak turut dimiliki penerjun negara apabila Traisy Vivien Tukiet hanya ketinggalan 28.30 mata di belakang Pandelela.

Penerjun Thailand, Sukruthai Tommaoros pula meraih pingat gangsa selepas mengutip 281.90 mata.

Pandelela, 15, mengakui, dia agak terkejut kerana masih mampu meraih pingat emas selepas mendapat saingan sengit daripada Traisy dan juga Sukruthai sepanjang enam terjunan acara tersebut.

"Berbanding yang lain, saya lihat Traisy dan penerjun Thailand tadi sebagai pencabar utama saya. Bagaimanapun, saya agak bernasib baik kerana masih mampu mengumpul mata tertinggi sekalipun terjunan pertama dan keenam saya tidak begitu baik.

"Dalam masa yang sama, Traisy juga gagal mengutip mata tertinggi dalam beberapa terjunannya dan ini memberi sedikit kelebihan kepada saya untuk meraih pingat emas," kata Pandelela ketika ditemui semalam.

Sementara itu, Ken Nee terus membuktikan bahawa dia masih lagi sukar dicabar dalam acara kegemarannya, 3m papan anjal selepas mengumpul 450.45 mata daripada enam terjunan.

"Saya rasa cukup berbangga apabila berjaya meraih emas dalam acara ini. Dengan kejayaan hari ini (semalam), saya berazam untuk menambah koleksi emas pada acara akan datang," kata Ken Nee yang kini telah merekodkan 12 pingat emas pada temasya Sukan SEA.

Bagi acara kegemarannya itu sahaja, Ken Nee yang membuat penampilan sulung pada Sukan SEA 1995 telah meraih lima emas termasuk yang dimenanginya semalam.

Pingat perak acara 3m papan anjal lelaki menjadi milik penerjun Filipina, Nino Carog yang mengumpul 429.00 mata manakala seorang lagi penerjun negara, Muhammad Fakhrul Izzat Md. Zain meraih gangsa dengan 423.75 mata.

No comments:

Post a Comment