Friday, December 11, 2009

Emas paling berharga Chew Chan


VIENTIANE – Che Chew Chan merangkul pingat emas paling bermakna dalam kariernya sepanjang Sukan SEA apabila menyumbangkan emas pertama buat kontinjen Malaysia di Laos dalam acara taekwondo middleweight wanita, semalam.

Walaupun telah memenangi tiga emas sejak kali pertama mengambil bahagian pada Temasya Kuala Lumpur 2001, namun pingat emas kali ini adalah yang paling istimewa buat atlet tinggi lampai berusia 27 tahun itu.

Turun sebagai penyandang juara, Chew Chan memenuhi tanggungjawab besar yang disandarkan di bahunya apabila menundukkan pencabar dari Vietnam, Nguyen Ha Thi dengan keputusan 3-2 dalam saingan akhir kelas bawah 73kg wanita.

Bagi Chew Chan, kemenangan kali ini amat bermakna kerana ini adalah kali pertama dia menjadi penyumbang emas sulung kontinjen Malaysia selepas lapan tahun membawa cabaran Malaysia di Sukan SEA. Ia adalah kejayaan yang akan dikenang sampai bila-bila.

Malah, ujarnya lagi, kemenangan ini juga hadir ketika sukan taekwondo berdepan seribu kepayahan ekoran kemelut yang melanda persatuan mereka, malah hampir digugurkan daripada Sukan SEA.

“Ini merupakan pingat emas keempat saya sepanjang mewakili negara pada Sukan SEA sejak 2001 tetapi kemenangan kali ini paling istimewa dan bermakna dibandingkan dengan tiga emas terdahulu.

“Saya tidak pernah menjadi penyumbang emas sulung kontinjen Malaysia, jadi apabila saya berada dalam situasi itu, barulah saya merasai betapa ia memberi satu perasaan yang cukup istimewa dan membanggakan. Saya gembira kerana kejayaan saya turut penyuntik semangat seluruh atlet negara di Laos.

“Bagaimanapun apa yang paling menggembirakan saya adalah taekwondo membuktikan kami masih mampu menyumbang pingat emas biarpun berdepan pelbagai kesulitan dan kepayahan ekoran masalah yang melanda persatuan. Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak, terutama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang telah memastikan taekwondo dapat beraksi di Laos,” ujar Chew Chan.

Sukan SEA XXV merupakan pertandingan kompetitif pertama buat Chew Chan sejak kembali daripada pembedahan lutut kiri dan kanan, Julai lalu.

“Sejujurnya, saya tidak berada pada keadaan terbaik untuk menghadapi pertandingan kerana persiapan yang singkat tetapi standard yang tidak cukup tinggi itu masih cukup untuk memberikan pingat emas kepada saya dan ia amat menggembirakan,” ujarnya lagi.

Chew Chan merangkul emas Sukan SEA pertamanya di Kuala Lumpur 2001, tetapi gagal mempertahankan kejuaraan di Vietnam 2003.

Namun, dia tidak memandang ke belakang pada dua Temasya berikutnya apabila meraih emas di Manila 2005, diikuti Korat 2007.

Sementara itu, harapan untuk menyaksikan kilauan emas mengiringi kepulangan semula pemenang pingat emas 1997 dan 1999, Lee Wan Yuen daripada persaraan tidak kesampaian apabila Wan Yuen hanya mampu meraih gangsa dalam acara heavyweight.

Wan Yuen, 30, yang membuat penampilan semula selepas hampir enam tahun bersara gagal menyekat pencabar dari Indonesia, Alora Kirstie Elaine dengan keputusan 5-10 di separuh akhir. Emas acara atas 73kg itu dimenangi peserta Thailand, Rapatkorn Prasopsuk. – Utusan

No comments:

Post a Comment