Friday, December 11, 2009

Gangsa tebus kekecewaan Ayuni


NUr Ayuni Farhana Abdul Halim bersama pingat gangsa (acara 10m air rifel individu) dan perak (10m air rifel berpasukan) selepas majlis penyampaian hadiah pada temasya Sukan SEA XXV Laos, semalam.


VIENTIANE – Nur Ayuni Farhana Abdul Halim meraih gangsa dalam acara menembak 10 meter air rifel individu wanita semalam sebagai mengubat kekecewaan setelah terlepas pingat emas dalam acara berpasukan.

Penembak berusia 19 tahun itu mengumpul 491.1 mata untuk pingat gangsa, emas milik Goh Jia Yi dari Singapura (496.2 mata) manakala perak milik peserta Thailand, Chotphibunsin Thanyalak (496.2 mata).

Nur Ayuni ada sebab untuk tidak meraikan kejayaan memenangi gangsa dalam acara individu kerana kegagalannya melakukan tembakan terbaik menyebabkan skuad berpasukan kebangsaan, terlepas emas kepada Thailand.

“Laos merupakan penyertaan pertama saya pada Sukan SEA dan sudah tentu saya gembira kerana menang gangsa dalam acara individu.

“Namun, saya masih rasa kecewa kerana kegagalan saya melakukan tembakan terbaik dalam acara berpasukan, menyebabkan kita gagal memenangi pingat emas,” katanya di sini, semalam.

Sebelum acara individu berlangsung, skuad wanita Malaysia terlepas pingat emas apabila kurang melakukan tembakan markah penuh.

Skuad wanita hanya berjaya menduduki tempat kedua untuk pingat perak menerusi gandingan Shahera Rahim Raja, Nur Suryani Mohamad Taibi dan Nur Ayuni.

Trio menembak Malaysia menamatkan saingan sama 1,167 mata dengan Singapura dan Thailand.

Ini menyebabkan kelebihan melakukan tembakan markah penuh atau X-ring digunakan bagi menentukan pemenang.

Kelebihan melakukan X-ring memihak kepada Thailand yang mengumpul 72 mata, manakala trio Malaysia sekadar 63 mata.

Dalam acara berpasukan, Nur Ayuni mencatat mata paling rendah iaitu 94 mata pada tembakan terakhirnya menyebabkan emas memihak kepada Thailand.

Menurut Ayuni, dia tidak pernah melakukan tembakan serendah itu.

“Memang saya rasa bersalah kerana jika saya catatan saya baik sedikit pada tembakan terakhir, emas menjadi milik kita,” katanya. – Utusan

No comments:

Post a Comment