JAGA disiplin dan maruah negara.
Demikian peringatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Wee Jeck Seng kepada kontinjen negara ke Sukan SEA Laos ketika majlis penyerahan Jalur Gemilang semalam, lapor NOOR HASLIZA NUSI.
Menurutnya, setiap atlet bukan sahaja harus memberikan yang terbaik bagi merangkul pingat emas tetapi memastikan mereka sentiasa dihormati oleh rakan-rakan seperjuangan dari negara lain.
"Saya percaya anda semua (atlet) sudah bersedia, baik dari segi fizikal atau pun mental dengan menjalani latihan insentif dalam menyiapkan diri untuk menempuh dugaan dan cabaran pada temasya dwitahunan itu nanti," katanya pada majlis yang yang berlangsung di IOI Palm Garden Resort, Putrajaya itu.
Sehubungan itu katanya, cabaran pada Sukan SEA kali ini jauh lebih berbeza daripada di Korat, Thailand pada tahun 2007 lalu.
"Ketika itu kita telah melakar sejarah kerana berjaya mencatat pungutan pingat emas terbanyak pada penyertaan Sukan SEA di luar Kuala Lumpur iaitu sebanyak 68 pingat emas melebihi sasaran yang ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN).
"Malah di Korat juga, kita turut melepasi sasaran bagi menduduki sekurang-kurangnya tempat ketiga terbaik keseluruhan hasil kecemerlangan atlet yang berjaya mengatasi negara Vietnam.
"Kali ini, kekuatan kontinjen kita sudah hilang separuh di mana seramai 348 atlet dan 121 pegawai sahaja yang akan diturunkan manakala jumlah penyertaan juga berkurangan hampir separuh berbanding di Korat," ujarnya.
Kata Jeck Seng, walaupun berusaha untuk menggapai seberapa banyak pingat emas di sana (Laos) nanti, namun agak mustahil bagi kita menyamai rekod dan catatan sejarah yang dilakar dua tahun lepas.
"Sasaran kita di Laos iaitu 30 hingga 35 pingat emas adalah realistik memandangkan banyak acara yang menjadi kekuatan kepada kita tidak dipertandingkan pada temasya kali ini.
"Begitupun, saya yakin bahawa anda semua mampu mempamerkan prestasi yang cemerlang, mengekalkan semangat juang yang tinggi dan tidak mudah berputus asa dalam apa juga cabaran yang bakal dihadapi," tambahnya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong dan Ketua Kontinjen ke Sukan SEA Laos, Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz.
No comments:
Post a Comment