Tuesday, December 22, 2009

40 emas satu kejayaan buat Dr Ramlan




SASARAN minimum dicapai dengan mudah, malah catatan 40 pingat emas boleh dirumuskan sebagai satu kejayaan buat chef-de-mission negara, Datuk Dr Ramlan Aziz (gambar).

Dengan catatan 40 emas, 40 perak dan 59 gangsa, tugasan Ramlan dianggap berjaya walaupun sebelum ini dilabel sebagai 'bersendirian' menjalankan tugas utama selaku orang nombor satu kontingen negara.

"Ia temasya kecil tetapi cukup memuaskan hati dan amat meninggalkan kesan," katanya.


Bagi Dr Ramlan, pencapaian kali ini adalah kejayaan buat masa depan namun ada amaran diluahkan Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (iSn) itu betapa kita tidak seharusnya hanya memandang kemenangan dan melupakan kegagalan.

"Kita perlu mengkaji kenapa kita tidak berjaya, kita perlu tahu kenapa ia terjadi.

"Perkara ini sentiasa kita lupakan dan kita tidak mengeksploitasi kelebihan milik kita," katanya.

Menurut Dr Ramlan, walaupun sudah menamatkan tugasannya, beliau akan memanggil pengurus-pengurus pasukan pada Januari ini untuk melihat kembali apa yang mampu dilakukan untuk memperbaiki kelemahan yang ada.

Dr Ramlan berkata, dia mahu berbincang dan mengkaji kelemahan ditunjukkan atlit pada temasya kali ini dan meneruskan usaha berterusan dalam aspek pembangunan untuk kejohanan utama selepas ini dengan sasaran utama bagi program 'Road to London'. BH

No comments:

Post a Comment