Tuesday, November 17, 2009

Hup Wei tumpu pertahan jaguh Sukan SEA


KUALA LUMPUR – Lee Hup Wei mahu mengetepikan segera kegagalan mempertahankan pingat emas pada Kejohanan Olahraga Asia (ATF) di Ghuangzhou, demi memberi tumpuan mempertahankan gelaran atlet lompat tinggi No. 1 Asia Tenggara pada Sukan SEA Laos, bulan depan.

Katanya, kegagalan mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya dua tahun lalu di Jordan, bersebab.

‘‘Terus terang saya katakan cuaca yang terlalu sejuk menjadi faktor kegagalan saya mencatat lompatan yang baik.

‘‘Masalah ini (cuaca sejuk) dialami oleh lain-lain atlet negara sewaktu di Ghuangzhou.

‘‘Pada hari pertama kami tiba di venue kejohanan, keadaan cuaca memang sejuk tetapi saya masih boleh bertahan dan menyesuaikan diri.

‘‘Namun, pada hari acara lompat tinggi dipertandingkan, iaitu pada hari ketiga, hujan menyebabkan cuaca bertambah sejuk, sehingga mencecah lapan darjah Celsius.

‘‘Perubahan suhu yang terlalu sejuk, juga angin yang agak kuat, memang saya tidak jangkakan sama sekali.

‘‘Pada mulanya saya sangka suhu di sana akan bertahan pada 15 darjah Celsius. Saya langsung tidak menjangka cuaca bertukar menjadi terlalu sejuk,’’ katanya.

Hup Wei, yang memiliki catatan terbaik 2.27m, terlepas menaiki podium di ATF selepas gagal melepasi ketinggian 2.20m.

Atlet berusia 22 tahun itu bukan saja gagal mengulangi pencapaiannya di Jordan, dua tahun lalu, malah gagal mengatasi lompatan terbaiknya musim ini, 2.24m.

Sedikit melegakan kerana atlet yang mencatat kemenangan podium dalam acara lompat tinggi di ATF tempoh hari, bukan dari kalangan negara rantau Asia Tenggara yang bakal mengambil bahagian pada Sukan SEA Laos nanti.

Atlet Sri Lanka, Manjula Kumara Wijesekara melakar kejutan dengan membawa pulang emas menerusi catatan 2.23m, manakala atlet pilihan tuan rumah, Huang Haiqiang meraih perak, juga dengan 2.23m. Gangsa pula milik Vitaliy Tsykunov dari Kazakhstan (2.20m).

Namun, kegagalan di Ghuangzhou memberi pengajaran berguna buat Hup Wei untuk mempertahankan kejuaraan Sukan SEA di Laos.

‘‘Kegagalan mempertahankan emas di ATF menyedarkan saya bahawa persediaan saya sebenar masih tidak mencukupi.

‘‘Kini terpulang pada diri sendiri untuk melakukan persediaan terbaik bagi memastikan kegagalan di ATF tidak berulang di Laos pula.

‘‘Satu lagi aspek yang akan saya beri keutamaan ialah faktor cuaca kerana berkemungkinan cuaca di Laos juga sejuk, walaupun tidak seperti di Ghuangzhou.

‘‘Saya akan cuba untuk membiasakan diri berdepan dengan cuaca sejuk menerusi pakaian yang mampu mengelak dari kesejukan melampau.

‘‘Selain itu, persediaan mental juga penting untuk menghadapi pelbagai keadaan cuaca sewakti di Laos nanti,’’ katanya.

Sambil mengakui kecewa kerana gagal mempertahankan kejuaraan ATF, Hup Wei berkata, kebimbangan tetap dirasainya ekoran kegagalan di Ghuangzhou.

‘‘Namun, saya masih ada masa untuk memperbaiki kelemahan dan mahu mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada Sukan SEA Korat dua tahun lalu,’’ ujarnya. -UTUSAN

No comments:

Post a Comment