Tuesday, November 17, 2009

BAM mahu penjelasan status Chong Wei ke Sukan SEA Laos


KUALA LUMPUR – Kenyataan pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei yang memberi bayangan mungkin menarik diri dari Sukan SEA akibat keletihan menimbulkan rasa tidak senang Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Sekiranya Chong Wei memilih untuk mengetepikan Sukan SEA atas alasan keletihan, tetapi pada masa yang sama boleh beraksi pada Terbuka Hong Kong, China Masters dan Siri Super Masters Akhir yang semuanya berlangsung dalam tempoh yang dekat.

Bagi BAM, setakat ini Chong Wei adalah sebahagian daripada kontinjen Sukan SEA dan perkara itu telah dipersetujui pada mesyuarat terakhir Jawatankuasa Kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN).

Walaupun standard Sukan SEA tidaklah setinggi Sukan Olimpik, Sukan Asia atau Kejohanan Dunia, namun dengan mengambil kira Malaysia tidak ada pemain perseorangan sebaiknya ketika ini, justeru khidmat Chong Wei amat ditagih untuk memenuhi sasaran dua emas yang ditetapkan BAM.

“Setakat ini Chong Wei atau (Datuk) Misbun (Sidek) tidak memaklumkan apa-apa kepada BAM mengenai hasrat untuk menarik diri dari Sukan SEA, kami cuma tahu melalui akhbar.

“Saya kena dengar sendiri penjelasan kedua-dua mereka sebaik kembali ke tanah air nanti, tetapi sehingga hari ini, Chong Wei adalah anggota skuad Sukan SEA dan tiada sebab untuk dia menarik diri kecuali jika mempunyai sebab kukuh seperti kecederaan,’’ kata Pengurus Besar BAM, Kenny Goh.

Laporan akhbar, kelmarin memetik kenyataan pemain nombor satu dunia itu yang membayangkan status tidak menentu Sukan SEA Laos, bulan depan sejurus meraih kejuaraan keenamnya tahun ini di Terbuka Hong Kong.

Bagaimanapun menurut seorang sumber dalaman BAM, badan badminton kebangsaan itu telah mengeluarkan memo kepada ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek dan Misbun ekoran tindakan Chong Wei memberi kenyataan tanpa merujuk kepada mereka.

Menurut sumber itu lagi, sebagai pemain yang bernaung di bawah BAM, Chong Wei sepatutnya berbincang dengan badan induk itu dulu sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Tidak salah untuk seseorang pemain itu mempunyai sasaran mereka sendiri tetapi sebagai pemain yang bernaung di bawah BAM, mereka juga kena mengutamakan sasaran yang ditetapkan oleh badan kebangsaan itu, termasuk Chong Wei.

“Untuk Sukan SEA misalnya, walaupun ia bukanlah kejohanan besar dalam kalendar badminton antarabangsa tetapi BAM juga mempunyai sasaran mereka, malah MSN juga meletakkan harapan yang tinggi kepada badminton untuk menyumbangkan emas.

“Selain daripada mencari dua pingat emas, Temasya Laos juga penting untuk menguji kekuatan sebenar kita dalam acara berpasukan kerana Malaysia akan menjadi tuan rumah Piala Thomas tahun depan.

“BAM punya perancangan yang telah diatur sejak awal tahun, jadi pemain kena ikut perancangan itu dan tidak boleh menukarnya sesuka hati,’’ kata sumber berkenaan.

Chong Wei, 27, yang membuat penampilan sulung di Hong Kong selepas dua bulan berehat akibat kecederaan kelmarin berkata, dia perlu berbincang dengan Misbun mengenai penyertaan di Sukan SEA kerana jadual kejohanan terlalu padat yang terpaksa diharungi.

Menurut Chong Wei, adalah mustahil buatnya untuk beraksi dalam empat kejohanan dalam tempoh yang sangat rapat - Terbuka Hong Kong, China Masters, Siri Super Masters Akhir dan Sukan SEA.

Bagaimanapun, kata sumber berkenaan, walaupun alasan keletihan adalah logik tetapi persoalannya, mengapakah Chong Wei tidak mengorbankan saja salah satu daripada tiga kejohanan Siri Super itu jika dia benar-benar memerlukan ruang untuk berehat, sebaliknya memilih untuk mengetepikan Sukan SEA.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik itu juga sebelum ini pernah ditegur presiden BAM, Datuk Mohd. Nadzmi Salleh kerana bertanding pada kejohanan kecil seperti Terbuka Macau sejurus selepas gagal pada Kejohanan Dunia, Ogos lalu. -UTUSAN

No comments:

Post a Comment