Wednesday, November 25, 2009

'Bukan masa cari pengalaman'




JANGAN ada istilah sekadar ingin menimba pengalaman apabila pada Sukan SEA ke-25 di Laos bulan depan.

Itu amaran Ketua Kontinjen negara, Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz kepada semua wakil negara yang akan beraksi pada temasya terbesar di Asia Tenggara itu bermula 9 hingga 18 Disember ini.

Menurut Ramlan, Sukan SEA bukan lagi medan untuk menimba pengalaman sama ada seseorang itu atlet muda yang membuat penampilan pertama.

Dr. Ramlan yang juga Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN) mendesak agar setiap atlet yang diberi peluang beraksi di Laos memberikan yang terbaik dan cuba untuk meraih keputusan yang paling memuaskan.

"Bagi saya, istilah menimba pengalaman atau medan pendedahan bukanlah istilah yang sesuai digunakan pada temasya Sukan SEA ketika ini," katanya ketika melawat skuad petangue negara menjalani latihan di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) Taman Keramat semalam.

"Meskipun terdapat ramai atlet muda yang baru pertama kali mewakili negara ke Sukan SEA, namun mereka harus menggunakan peluang ini sebaik mungkin.

"Mereka tidak boleh menganggap bahawa penampilan mereka di Laos hanyalah untuk menimba pengalaman. Mereka tidak harus mempersiakan peluang yang ada.

"Mereka sepatutnya menjadikan Sukan SEA ini sebagai permulaan untuk mencatat kejayaan. Apa yang paling penting, mereka harus berikan aksi terbaik kerana hanya dengan itu sahajalah, mereka akan mempunyai peluang untuk membuat kejutan."

Sementara itu, Ramlan turut berharap setiap atlet yang akan beraksi pada Sukan SEA tahun ini mengamalkan gaya hidup yang positif selain cuba untuk menyelesaikan sebarang masalah yang boleh mengganggu tumpuan ketika beraksi di Laos.

"Sebagai atlet, mereka seharusnya mempunyai tanggungjawab terhadap diri sendiri dan juga kepada negara," tambah Dr. Ramlan.

"Saya bukan ingin mencampur urusan peribadi tetapi selaku atlet yang bakal membawa nama negara di pentas antarabangsa, kehidupan mereka sudah tidak menjadi hal peribadi.

"Mereka harus bijak menjalani kehidupan sesuai dengan taraf mereka selaku atlet berprestasi tinggi. Jangan jalani gaya hidup yang berisiko seperti meminum arak, berkunjung ke kelab malam ataupun merokok.

"Saya juga harap setiap atlet menyelesaikan semua masalah yang ada sebelum berlepas ke Laos kerana saya tidak mahu tumpuan mereka terjejas ketika beraksi." KOSMO

No comments:

Post a Comment