Wednesday, November 25, 2009

Sukan SEA bukan temasya kelas kedua


Dr. Ramlan Aziz memberikan amanat kepada atlet-atlet pentanque di Kompleks Sukan MSN, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Mohd. Naim Aziz

KUALA LUMPUR - Sukan SEA bukan temasya kelas rendah dan ia tidak sepatutnya dianggap sebagai medan pendedahan, tegas Ketua Kontinjen negara, Datuk Dr. Ramlan Aziz.

Dr. Ramlan yang juga Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN) turut menegur persatuan-persatuan sukan yang sering menggunakan alasan pendedahan apabila menghantar atlet muda atau muka baru pada temasya dwi tahunan itu.

Katanya, mereka sepatutnya berfikiran positif dengan melihat ia sebagai langkah pertama untuk menuju ke peringkat lebih tinggi seperti Sukan Komanwel, Sukan Asia atau Sukan Olimpik.

"Saya tidak terima kalau ada yang menganggap Sukan SEA sebagai temasya kelas rendah dan bila persatuan menghantar atlet muda atau muka baru, mereka selalu kata.. tiada sasaran ia cuma pendedahan.

"Soal pendedahan tidak timbul di sini. Kalau hendak pendedahan mereka boleh dapat dalam Kejohanan MSSM (Majlis Sekolah-Sekolah Malaysia) atau Sukma.

"Sukan SEA adalah kejohanan antarabangsa, bila sampai peringkat ini setiap atlet patut ada sasaran. Sekalipun tidak mampu menang pingat, mereka kena letak sasaran tinggi seperti pecah rekod peribadi atau rekod terbaik musim ini,'' kata Dr. Ramlan selepas melawat skuad petanque kebangsaan di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara dekat Keramat, semalam.

Tegas Dr. Ramlan lagi, bagi sesetengah acara pula, Sukan SEA merupakan kemuncak mereka dan peluang untuk menaiki podium kerana standard mereka untuk bersaing di peringkat Asia atau dunia terlalu jauh.

"Tidak semua atlet negara yang berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik bermakna standard mereka cukup tinggi. Ada yang layak, tetapi dari awal lagi kita tahu dia cuma boleh jadi peserta bukan pencabar utama untuk naik podium.

"Jadi Sukan SEA merupakan peluang terbaik mereka untuk menaiki podium, mengharumkan nama negara dan mendengar lagu kebangsaan berkumandang,'' kata Dr. Ramlan lagi.

Ujar Dr. Ramlan, beliau menuntut persembahan terbaik daripada setiap atlet negara yang bakal beraksi di Sukan SEA, malah beliau mahu setiap mereka menetapkan sasaran di Laos dan berusaha memenuhinya.

Dalam perkembangan lain, Dr. Ramlan mengakui, beliau mungkin tidak sempat untuk melawat baki 11 lagi sukan yang belum dilawati tetapi berjanji akan meninjau latihan mereka sebaik tiba di Laos nanti.

Sehingga hari ini, Dr. Ramlan sudah melawat 10 sukan, badminton, pingpong, biliard & snuker, olahraga, memanah, wusyu, bola sepak, sepak takraw, petanque dan karate.

"Sebenarnya saya selalu mengadakan lawatan dan meninjau latihan atlet Sukan SEA negara, cuma ia bukan lawatan rasmi. Saya sentiasa mengikut perkembangan mereka.

"Ada juga beberapa sukan yang tiada di sini, mereka menjalani latihan di luar negara, sebab itu tak sempat hendak lawat. Tetapi kalau mereka balik untuk kem atlet (29 November - 4 Disember) aya boleh lawat, malah saya juga akan lawat mereka di Laos nanti,'' kata Dr. Ramlan. UTUSAN

No comments:

Post a Comment