Wednesday, October 21, 2009

Roslinda intai lompatan hatrik


KUALA LUMPUR - Roslinda Samsu sudah bersedia untuk memburu emas hatrik acara lompat bergalah wanita pada Sukan SEA Loas, Disember ini.

Selepas menang emas pertama di Manila pada 2005 dan mengekalkan kejuaraan di Korat dua tahun lalu, atlet kelahiran Kuala Nerang, Kedah ini berkata, kejayaan memenangi emas di Korat pada 2007 masih membara untuk dijadikan motivasi bagi memenangi emas ketiga di Laos nanti.

Katanya, emas hatrik yang menjadi buruannya kali ini istimewa apabila mengenang betapa sebelum ini Sukan SEA bukanlah temasya sukan yang mudah baginya.

''Penyertaan saya pada Sukan SEA ketiga di Manila pada 2005 barulah saya merasai kegembiraan memenangi pingat emas. Kejayaan pertama itu bukan mudah. Saya mengharungi dua Sukan SEA tanpa kejayaan yang membanggakan.

''Semangat kejayaan ketika Sukan SEA 2005 saya bawa sehingga Sukan SEA berikutnya di Korat, Thailand.

''Pada temasya sukan di Laos tahun ini, saya membawa pula semangat seperti mana kejayaan di Korat dua tahun lalu demi mengharapkan emas ketiga pula,'' katanya ketika dihubungi, semalam.

Roslinda merupakan antara atlet harapan untuk tujuh emas yang disasarkan oleh Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KAOM) di Laos nanti.

Roslinda merupakan pemegang rekod kebangsaan lompat bergalah wanita dengan ketinggian 4.40m.

Begitupun, harapan kejuaraan hatrik Roslinda bakal berdepan tentangan sengit dari pesaing tradisi, Le Thi Phuong dari Vietnam dan Deborah Samson dari Filipina.

Selepas Manila dan Korat, kedua-dua mereka sekadar menjadi pemenang kedua di belakang Roslinda.

Hal ini diakui oleh Roslinda yang menjangkakan saingan dari kedua-dua pencabarnya itu lebih getir kali ini apatah lagi Thi Phuong mencatat lompatan terbaiknya baru-baru ini.

''Harapan untuk memenangi emas bergantung pada suasana hari pertandingan nanti.

''Ketika ini saya melihat peserta dari Vietnam dan Filipina sebagai pencabar utama di Laos nanti.

''Saya tidak tahu setakat mana kemampuan mereka, cuma Thi Phuong yang sudah lama tidak beraksi tetapi kembali aktif dengan catatan yang memberangsangkan iaitu 3.90 meter baru-baru ini. Bagi saya ia pencapaian yang baik menjelang Sukan SEA.

''Begitu juga Deborah, saya tiada maklumat mengenai prestasinya, namun saya percaya dia juga semakin meningkat selepas Sukan SEA di Korat dua tahun lalu.

''Saya akan berhati-hati terhadap ancaman mereka di Laos nanti,'' katanya.

Bagaimanapun, demam membatasi kemampuan Roslinda untuk melakukan lompatan terbaik pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia baru-baru ini apabila hanya melepasi had ketinggian 3.3m.

Begitupun, Roslinda tidak begitu gusar kerana catatan 4.35m ketika temasya Mini Olimpik, Ogos lalu masih segar untuk dijadikan ukuran prestasinya menjelang saingan di Vientiane nanti.

''Selepas menyertai kejohanan Dunia di Berlin bulan lalu, tiada kejohanan kompetitif yang saya sebagai persediaan ke Laos nanti.

''Untuk itu saya berharap dapat disenaraikan ke kejohanan olahraga Terbuka Singapura tidak lama lagi bagi kejohanan pemanas badan.

''Kejohanan Olahraga Asia (ATF) di merupakan kejohanan terakhir sebelum beraksi di Laos, yang mana ia merupakan medan terakhir untuk mengukur kemampuan saya,'' katanya.

No comments:

Post a Comment