Wednesday, August 5, 2009

Terjunan emas Bryan, Pandelela


AKSI Bryan ketika memenangi pingat emas acara 10 meter platform individu semalam.


PENERJUN kebangsaan, Bryan Nickson Lomas dan Pandelela Rinong masing-masing mempamerkan aksi konsisten untuk meraih pingat emas acara 10 meter platform individu pada Kejohanan Mini Olimpik di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, semalam

Kedua-dua penerjun itu menggunakan tahap kesukaran yang dilakukan semasa menyertai Kejohanan Dunia di Rom bulan lepas.

"Saya berpuas hati dengan persembahan saya hari ini. Boleh dikatakan ia lebih baik daripada persembahan saya di Rom.

"Kejohanan ini adalah antara latihan persediaan saya bagi menghadapi Temasya Sukan Perpaduan Islam," kata Bryan.

Penerjun berusia 19 tahun dari Kuching, Sarawak itu berkata, dia sememangnya mensasarkan untuk meraih pingat emas dalam acara kegemarannya itu pada temasya Mini Olimpik, selain memperkemaskan teknik terjunan sedia ada.

Sementara itu, Pandelela pula mengakui berlaku sedikit kesilapan pada teknik terjunannya semalam tetapi ia sedikit pun tidak kecewa dengan pencapaian keseluruhannya.

"Markah yang saya dapat semasa di Rome lebih baik berbanding markah hari ini tetapi saya tidak kecewa. Sebabnya, tidak semua orang dapat lakukan yang terbaik, ada kala orang akan buat silap juga," kata penerjun berusia 15 tahun itu.

Dalam acara 10m platform individu wanita semalam, Pandelela mengumpul 344.55 mata daripada lima terjunan berbanding 354.45 mata yang membolehkannya berada di tangga kelima Kejohanan Dunia pada 20 Julai lepas.

Menurut Pandelela, tumpuannya kini ialah Kejohanan Terjun Peringkat Umur Asia di Jepun pada pertengahan bulan ini dan Sukan SEA di Laos Disember nanti. - KOSMO

No comments:

Post a Comment