Wednesday, August 5, 2009

Brian, Pandelela ungguli terjun


KUALA LUMPUR - Acara akuatik terjun 10 meter platform individu temasya Mini Olimpik menyaksikan penguasaan atlet penerjun kebangsaan, Bryan Nickson Lomas dan Pandelela Rinong merebut pingat emas.

Bryan mengungguli acara perseorangan lelaki mengumpul 441.90 mata keseluruhan manakala Pandelela memungut 314.85 mata.

Itu merupakan pingat emas kedua Pandelela setelah memenangi pingat emas dalam acara terjun serentak berganding bersama penerjun senior, Leong Mun Yee.

Pingat perak acara lelaki dimenangi Ooi Tze Liang, pingat gangsa, Abdul Rashid manakala bagi acara wanita, pingat perak milik Traisy Vivien dan Kam Ling Kar membawa pulang pingat gangsa.

Ketika ditemui, Brian berkata, aksinya itu adalah yang terbaik berbanding kejohanan lalu di Rome.

"Mata yang saya peroleh hari ini adalah sangat bagus dan saya amat berpuas hati dengan kejohanan ini kerana sasaran asal saya hanyalah untuk memperbaiki mata sahaja," katanya.

Jelasnya, walaupun baru sahaja belajar rutin baru, namun dia mampu menguasai dalam acara ini.

"Ini memberi saya peluang untuk lebih fokus dalam kejohanan seterusnya termasuklah di Islamic Games nanti," jelasnya yang akan ke China untuk sesi latihan, Oktober ini.

Sementara itu, Pandelela pula mengakui, catatan pada Mini Olimpik itu bukan pencapaian terbaiknya.

"Saya melakukan sedikit kesilapan dalam terjunan. Walaupun melakukan formasi baik, namun pada separuh akhir, pencapaian saya lebih baik daripada ini.

"Mungkin juga saya hilang fokus namun dalam sesebuah pertandingan, kita tidak lepas daripada melakukan kesilapan kecil," katanya.

Tambahnya, tiada rutin baru yang dipersembahkan dalam temasya sukan itu namun tidak menolak akan terdapat rutin baru bagi persiapan Sukan SEA Laos, Disember ini.

No comments:

Post a Comment