Friday, August 7, 2009

Cai Lin lebur rekod 20 tahun Nurul Huda

Oleh Hasnira Hassan
niera@nstp.com.my


AKSI Cai Lin ketika melakar rekod baru 200m kuak kupu-kupu, semalam.

Raih emas, lakar rekod baru kebangsaan 200m kuak kupu-kupu

KHOO Cai Lin memadamkan rekod hampir 20 tahun bekas ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah dalam acara 200 meter kuak kupu-kupu, apabila mencipta rekod kebangsaan baru pada pertandingan renang Mini Olimpik, semalam.

Cai Lin yang meraih pingat emas pertamanya, menamatkan empat pusingan di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, dengan 2 minit 16.11 saat, 0.72 saat lebih pantas berbanding rekod Nurul Huda yang dibuat sewaktu Sukan Sea Kuala Lumpur, 24 Ogos 1989.

Pada acara tunggal yang disertainya, selepas membatalkan penyertaan dalam dua acara - 400m gaya bebas dan 100m kuak dada - kelmarin, perenang jarak jauh negara berusia 20 tahun itu, bermula pantas untuk mencatat 30.71s pada pusingan pertama, sebelum merakam 1:04.98s (kedua) dan 1:40.53s (ketiga).

Pingat perak dimenangi perenang Sarawak, Hii Siew Siew yang ketinggalan 4.83s di belakang Cai Lin, untuk mencatatkan 2:20.94s, diikuti Mohana Vijayan (Selangor) dengan catatan 2:27.05s.

“Saya rasa gembira kerana saya sentiasa ingin mengatasi rekod Nurul Huda yang kebanyakan rekodnya dalam acara jarak jauh.

“Namun, saya tidak meletak sasaran awal untuk memperbaharui rekod baru pada acara hari ini kerana saya baru sampai dari Eropah, Isnin lalu dan masih kepenatan. Malah, saya tidak menyangka mampu mencipta rekod hari ini.

“Sebenarnya, sebaik berada dalam air (sebelum pertandingan bermula) saya rasa sangat bagus,” katanya yang mengakui terpaksa menarik diri daripada dua acara kelmarin - sekalipun menghadiri sesi saringan, sebelah pagi - selepas berasa tidak sihat termasuk hampir demam.

Malah, dia yang menegaskan keadaan kesihatannya lebih baik semalam, berkata acara kupu-kupu bukan pilihan utamanya dan hanya disertai sekali sekala supaya tidak bosan memberi tumpuan terhadap gaya bebas sahaja.

Mengulas aksi terakhir hari ini dalam 100m gaya bebas, Cai Lin sambil merendah diri mengakui dia bukan perenang `pecut’, dan tidak memandang remeh cabaran Leung Chii Lin dan Chui Lai Kwan.

No comments:

Post a Comment