Friday, August 7, 2009

Cai Lin padam rekod Nurul Huda


HEBAT... Aksi Cai Lin ketika meraih pingat emas acara 200 meter kuak kupu-kupu di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil semalam.


RATU renang negara, Khoo Cai Lin memecah kesunyian Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil apabila memadam rekod kebangsaan acara 200 meter kuak kupu-kupu milik bekas ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah pada Kejohanan Mini Olimpik semalam.

Perenang berusia 20 tahun yang berasal dari Selangor itu mencatat masa dua minit 16.11 saat untuk mengatasi catatan Nurul Huda, 2:16.83s yang dicatatkan pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur.

Ini adalah kali kedua Cai Lin memadamkan rekod kebangsaan yang dipegang oleh Nurul Huda.

Pada Sukan Univeriti ASEAN Ke-14 (SUA 2008), Cai Lin memperbaharui rekod Nurul Huda dalam acara 400m gaya bebas.

"Rasa hebat dapat memecahkan rekod terakhir Nurul Huda kerana saya sentiasa mahu mengatasi semua rekod kebangsaan miliknya.

"Saya baru balik dari Rom, Isnin lepas dan masih letih berikutan perjalanan itu, dan saya tidak menjangka dapat memecahkannya (rekod Nurul Huda) apabila saya turun beraksi. Saya buat yang terbaik," kata Cai Lin.

Sementara itu, seorang lagi perenang kebangsaan, Chui Lai Kwan berjaya melayakkan diri ke Sukan SEA di Laos, Disember depan dalam acara 50m gaya bebas wanita.

Pada saingan acara berkenaan semalam, Lai Kwan, 19, dari Sabah mencatat masa 26.34 saat, melepasi had kelayakan Sukan SEA iaitu 26.79s.

Selain meraih pingat emas dalam acara 50m gaya bebas, Lai Kwan turut meraih pingat emas dalam acara 100m kuak lentang.

Turut meraih dua pingat emas semalam ialah seorang lagi perenang kebangsaan, Daniel Bego melalui acara 200m gaya bebas dan 200m kuak kupu-kupu lelaki.

No comments:

Post a Comment