Wednesday, July 1, 2009

Hanya emas tebus maruah


Kontinjen sepak takraw Malaysia ke Kejohanan Dunia Piala Raja Thai di Bangkok melaungkan slogan keramat Malaysia Boleh! pada majlis penyerahan Jalur Gemilang di Bukit Jalil, semalam.


KUALA LUMPUR - Walaupun mencatat keputusan buruk pada Kejohanan Dunia, Jun lalu, skuad sepak takraw Malaysia tetap berlepas ke Bangkok bersama sasaran tinggi - memburu sebutir emas pada Kejohanan Dunia Piala Raja Thai Ke-24 yang bermula esok.

Bagi Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), hanya pingat emas mampu menebus maruah yang tercalar gara-gara tersingkir awal dan kalah pula kepada pasukan ranking lebih rendah pada Kejohanan Dunia di Terengganu, Jun lalu.

Keputusan tuan rumah, Thailand untuk tidak menyertai acara antara regu, menjadikan ia acara terbaik untuk menghadiahkan sebutir emas buat Malaysia.

"Kegagalan pada Kejohanan Dunia amat mengecewakan tetapi kalah kepada pasukan seperti Vietnam (beregu) dan Indonesia (berpasukan) sangat mengaibkan.

"Kita hanya boleh menebus kekecewaan dan maruah yang tercalar dengan meraih pingat emas pada Piala Raja Thai,'' kata Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail pada majlis penyerahan Jalur Gemilang oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim kepada skuad sepak takraw negara di Dewan Komanwel, Bukit Jalil, semalam.

Kata Ahmad lagi, pasukan negara beraksi di bawah keupayaan sebenar pada Kejohanan Dunia lalu dan beliau percaya keadaan akan berubah di Bangkok.

Tegasnya, Malaysia perlu bangkit daripada sekarang jika mahu memastikan persiapan untuk memburu emas pada Sukan SEA Laos, Disember ini dan Sukan Asia 2010 di Guangzhou berada di landasan yang betul.

"Piala Raja Thai bukan satu-satunya sasaran kita. Sepak takraw sentiasa menjadi acara yang diharap untuk menghadiahkan pingat emas pada temasya seperti Sukan SEA dan Sukan Asia, jadi kita kena pastikan pelan dan perancangan berjalan baik.

"Kita perlu melakukan perubahan drastik selepas kegagalan pada Kejohanan Dunia, tetapi untuk itu kami juga mengharapkan bantuan berterusan daripada MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara).

"Ketika ini, pemain-pemain kami menerima elaun yang rendah.. RM500 sebulan, saya harap MSN dapat mempertimbangkan untuk menaikkan kadar elaun yang saya fikir terlalu rendah dan tidak munasabah.

"Kami juga memerlukan kemudahan asas latihan yang lebih baik, selain berharap untuk mendapat tambahan pegawai sokongan seperti fisioterapi,'' katanya lagi.

Sementara itu, Razali mahu skuad sepak takraw mencontohi pemain-pemain badminton negara yang mampu menangani tekanan dan merangkul kejuaraan, meski pun beraksi di gelanggang musuh utama.

Sekali pun Malaysia akan beraksi di negara musuh tradisi, Thailand, beliau tidak mahu ia dianggap beban tambahan kepada Malaysia dan mahu mereka mencontohi kejayaan Datuk Lee Chong Wei dan beregu Wong Pei Tty-Chin Eei Hui yang masih mampu muncul juara Terbuka Indonesia biarpun diejek penyokong tuan rumah.

"Mereka tidak harus menjadikan fakta beraksi di gelanggang pasukan musuh sebagai alasan untuk tidak boleh mencatat kejayaan. Mereka kena contohi apa yang dilakukan skuad badminton di Terbuka Indonesia baru-baru ini.

"Seperkara lagi, saya juga hanya mahu pemain memberi tumpuan kepada pertandingan dan tidak memikirkan soal elaun, biarlah perkara itu diselesaikan oleh pihak pentadbiran,'' katanya.

Pasukan negara akan berlepas ke Bangkok hari ini sebelum memulakan cabaran esok. Kejohanan akan berlangsung dari 2-7 Julai.

Turut hadir pada majlis penyerahan Jalur Gemilang semalam adalah pemangku Ketua Pengarah MSN, A Jalil Abdullah.

No comments:

Post a Comment