Wednesday, July 1, 2009

PSM janji satu emas Piala Raja Thai


Oleh Mohd Fadzrie Hazis
fadzrie@bahrian.com.my

SATU pingat emas dijanjikan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) di Kejohanan Piala Raja Thai yang bermula esok hingga 7 Julai dengan sandaran diletakkan kepada regu utama, Ahmad Sufi Mohammed Hashim, Norshahruddin Mad Ghani dan Zulhafizazudin Roslan.

Bagi jurulatih kebangsaan, Haris Abdul Rahman, walaupun sasaran itu tampak sukar, ia bukan sesuatu yang di luar jangkauan pemainnya kerana mereka sudah bersedia menghadapi kejohanan itu.

“Kejohanan ini adalah antara kejohanan pemanas badan buat skuad negara sebelum beraksi di Sukan Sea Laos, dan ia akan memberi gambaran awal terhadap keupayaan kami di peringkat antarabangsa ketika ini.

“Saya percaya kami mampu mencapai sasaran yang ditetapkan dan ia mampu dicapai sama ada acara beregu atau regu kami kerana mereka kini lebih bersedia.

“Pemain kini berazam bangkit daripada kegagalan mara ke separuh akhir pada Kejohanan Dunia-Piala Malaysia di Kuala Terengganu, bulan lalu dan mereka mahu membuktikan kegagalan itu tidak berulang, ” kata Haris.

Sementara itu, dalam usaha meningkatkan minat orang ramai kepada sukan itu, PSM mengorak langkah dengan melancarkan kempen ‘Jom Sepak Takraw’ semalam.

Menurut Presiden PSM Datuk Ahmad Ismail, badan induk itu akan mengadakan beberapa program termasuk meningkatkan bilangan kejohanan di peringkat sekolah dalam usaha mengangkat kembali martabat sukan itu di negara ini.

Selain kejohanan di peringkat akar umbi, PSM juga dalam perbincangan untuk menerbitkan sebuah filem yang berkisar mengenai sukan itu yang diharapkan mampu mewujudkan kembali kesedaran terhadap sukan itu.

“Filem yang bakal diterbitkan itu berjudul Raja Libas yang akan dilakonkan pelakon popular, Rosyam Nor, tetapi ia masih dalam perbincangan ketika ini dan kami akan membuat pengumuman rasmi mengenainya apabila semua pihak mencapai persetujuan,” kata Ahmad.

No comments:

Post a Comment