Wednesday, July 1, 2009

Amirul buru masa cari tiket ke Sukan Sea

Oleh Asrol Awang
bhsukan@bharian.com.my


AMIRUL berazam lakukan angkatan lebih baik memecahkan rekod kebangsaan 265 kg.

Kecederaan siku hadkan penyertaan bekas juara Sukan Komanwel sejak Sukan Olimpik Beijing

KETIKA rakan lain sudah mengesahkan diri beraksi pada Sukan Sea Laos, Disember depan, badang negara, Amirul Hamizan Ibrahim pula akan menjadikan Kejohanan Mini Olimpik sebagai pentas terbaik mencari tiket ke temasya sukan dwi-tahunan itu.

Amirul yang juga pemenang tiga pingat emas Sukan Komanwel 2002 di Manchester berharap kejohanan yang berlangsung di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil dari 29 Julai hingga 9 Ogos depan, akan berpihak kepadanya.

Pada Mini Olimpik nanti, atlit kelahiran Kuala Rompin, Pahang itu yang menyertai kategori 56 kilogram (kg), tiada pilihan selain melepasi kelayakan yang ditetapkan untuk bersama kontinjen negera ke Laos.

"Ketika ini, saya menjalani latihan seperti biasa memandangkan masalah siku kanan yang masih sakit selepas beraksi pada Sukan Olimpik Beijing tahun lalu dan kembali berulang ketika menjalani latihan di Haikou, China, Mei lalu.

"Disebabkan itu, saya terlepas peluang beraksi di Kejohanan Angkat Berat Asia di Kazakhstan, Mei lalu hingga memadamkan impian melepasi kelayakan ke Laos.

"Tiga rakan lain, Naharuddin Mahyuddin (62kg), Nurul Farhana Johari (63kg) dan Zulkifli Che Ros (77kg) berjaya menempah tiket mereka ke Sukan Sea sesudah mengatasi had kelayakan di Kazakhstan," katanya.

Berdasarkan prestasi semasa, atlit berusia 28 tahun itu berazam melakukan angkatan yang lebih baik iaitu memecahkan rekod kebangsaan 265 kilogram yang dilakukan pada Sukan Olimpik Beijing.

"Saya berharap mampu melakukan angkatan sempurna kerana kejohanan ini adalah yang pertama tahun ini selepas gagal menyertai rakan lain di Kazakhtan,” katanya.

Di Beijing Ogos lalu, Amirul menduduki tangga kelapan keseluruhan bagi kategori 56kg yang dianggap pencapaian terbaik berdasarkan ia adalah penyertaan pertamanya.

No comments:

Post a Comment