Saturday, June 6, 2015

Masa depan Kim Swee ditentukan pada Julai


Hamidin Mohd. Amin

KUALA LUMPUR - Masa depan Datuk Ong Kim Swee bersama skuad Bawah 23 (B-23) negara akan terjawab dalam mesyuarat Pengurusan Skuad Kebangsaan bulan depan dan selepas post mortem prestasi skuad negara dalam Sukan SEA 2015 di Singapura.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, mesyuarat itu bakal dipengerusikan oleh Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Kita akan mengetahui sama ada Kim Swee (masih) terlibat atau sebaliknya dalam perancangan skuad bola sepak Sukan SEA 2017 nanti, tambahan pula kali ini kita akan jadi tuan rumah, jadi sasaran kita semestinya mahu beraksi dalam perlawanan akhir.

“Kami di FAM sedang memikirkan dan akan buat post-mortem secepat mungkin selain akan mengadakan mesyuarat pada awal Julai nanti,” kata Hamidin dalam sidang akhbar di Wisma FAM semalam.

Persoalan masa depan Kim Swee bersama skuad B-23 negara timbul berikutan prestasi kurang memberangsangkan pasukan itu di Singapura apabila kalah 1-5 kepada Vietnam dan 0-1 kepada juara bertahan Thailand.

Kekalahan itu menyebabkan peluang anak didik Kim Swee untuk melepasi saingan Kumpulan B dan layak ke separuh akhir boleh dikatakan sudah tertutup rapat.

Mengulas mengenai persembahan skuad B-23 itu, Hamidin berkata pihaknya terpaksa menerima hakikat betapa Thailand dan Vietnam mempamerkan aksi lebih hebat.

“Kita perlu terima hakikat skuad Vietnam dan Thailand lebih kuat berbanding skuad negara dan persiapan pasukan lawan juga lebih rapi berbanding kita.

“Secara matematik, saya fikir peluang kita sudah tertutup untuk melepasi peringkat kumpulan, tetapi FAM akan membuat analisis berkenaan kegagalan ini.

“Satu mesyuarat khas akan dibuat bersama barisan jurulatih untuk mengenal pasti kelemahan dan kekurangan (skuad Kim Swee). Saya percaya FAM akan berusaha untuk menampilkan skuad lebih baik untuk Sukan SEA edisi 2017,” jelasnya.

Sumber: UTUSAN

No comments:

Post a Comment