GARY STEVEN ROBBAT (kiri) berasakan Ong Kim Swee bijak mencatur strategi permainan dan merupakan jurulatih terbaik untuk membimbing pemain-pemain muda. UTUSAN
SINGAPURA – Gary Steven Robbat tetap berasakan jurulatih skuad bawah 23 Datuk Ong Kim Swee adalah antara individu terbaik untuk membimbing pemain-pemain muda.
Katanya, Kim Swee bukan sahaja bijak dari segi taktikal tetapi juga berpengalaman luas apabila berdepan dengan tugasan antarabangsa.
“Setelah sekian lama dengan jurulatih sejak Sukan SEA, kelayakan Olimpik dan beberapa kejohanan lain, saya berasakan dia antara jurulatih terbaik pernah saya jumpa, malah saya rasa dia masih sesuai mengendalikan skuad ini.
“Dia tahu dan bijak membuat percaturan bersesuaian apabila berdepan dengan mana-mana pasukan dari Asia Tenggara.
“Dia masih antara yang terbaik dari segi membentuk pemain muda,” katanya semalam.
Kim Swee kelmarin membayangkan akan melepaskan jawatannya sebaik sahaja Sukan SEA 2015 di Singapura berakhir apabila berasakan sudah puas mengendalikan skuad negara sebanyak tiga kali sejak Sukan SEA 2011 di Indonesia.
Bayangan itu diluahkannya selepas anak-anak buahnya tewas 0-1 kepada Thailand kelmarin, yang hampir pasti menutup peluang skuad negara untuk melepasi persaingan peringkat kumpulan.
Gary, yang kali pertama membantu skuad negara dalam Sukan SEA selepas disisihkan pada 2011 dan 2013 akibat masalah kecederaan, juga terkilan apabila perjuangan mereka berakhir secepat ini.
“Dua Sukan SEA sebelum ini nama saya disenaraikan tetapi pada saat-saat akhir saya mengalami kecederaan. Ini sahaja peluang saya (untuk menang pingat Sukan SEA) tetapi rasa sedih sangat kerana kami terkeluar terlalu awal.
“Saya sudah cuba buat apa yang jurulatih mahukan dan komitmen rakan-rakan ternyata begitu tinggi tetapi ini sahaja hasil yang kami mampu berikan,” kata pemain yang berasal dari Kulim, Kedah itu.
Pemain berusia 23 tahun itu juga kesal kerana gagal memanfaatkan peluang pada minit ke-13 semasa bertemu Thailand, yang mungkin boleh mengubah nasib pasukan negara di Sukan SEA.
“Saya mahu ke hadapan dan cuba memperdayakan penjaga gol tetapi memang silap saya kerana tiada kelajuan untuk mengatasi pemain Thailand,” katanya mengenai percubaannya yang terkeluar.
Sumber: UTUSAN
No comments:
Post a Comment