Saturday, June 6, 2015

Pembukaan paling gemilang

SINGAPURA - Setelah tujuh hari acara bermula, akhirnya Sukan SEA kali ke-28 yang bertemakan ‘Meraikan Yang Luar Biasa’ dibuka secara rasmi malam tadi dengan penuh gilang gemilang di Stadium Nasional dengan disaksikan kira-kira 40,000 penonton.

Kejohanan Sukan SEA dirasmikan oleh Presiden Singapura, Dr. Tony Tan Keng Yam diiringi pembacaan ikrar oleh atlet bola jaring Singapura, Micky Lim dan wakil pengadil kejohanan Mohd. Azhar Yusof.

Kemuncak upacara pembukaan rasmi Sukan SEA 2015 ialah apabila obor temasya dinyalakan oleh bekas pemain bola sepak Singapura, Fandi Ahmad dan anaknya Irfan bagi menandakan bermulanya kejohanan itu hingga 16 Jun ini.

Antara tetamu kehormat Malaysia yang hadir ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Seperti dijanjikan, kecanggihan teknologi yang dimiliki Stadium Nasional terutama dari segi pencahayaan dan bunyi banyak membantu memeriahkan upacara pembukaan yang dibantu 5,000 orang yang menjayakan persembahan.

Upacara pembukaan dimulakan dengan persembahan kebudayaan empat etnik berbeza iaitu Melayu, India, Cina dan diakhiri dengan masyarakat Portugis sebelum gimik maskot ‘Nila’ terjun payung menggamatkan suasana di Stadium Nasional.

Selain itu, konsep persembahan yang menggunakan imiginasi dan penceritaan kanak-kanak turut mencuri perhatian penonton pada kali ini yang disifatkan kreatif.

Sementara itu acara perarakan kontinjen dimulakan oleh Brunei, Kemboja, Indonesia dan Laos sebelum kontinjen Malaysia yang diwakili 160 orang atlet dan pegawai yang mengenakan pakaian ‘Wira Negara’ menjadi kontinjen kelima mengambil giliran dengan didahului Ketua Kontinjen Negara, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan penerjun negara Leong Mun Yee sebagai pembawa Jalur Gemilang.

Perarakan masuk diteruskan dengan kontinjen Myanmar, Thailand, Timor Leste, Vietnam dan penonton tuan rumah bersorak apabila kontinjen Singapura memasuki stadium.

Pengerusi Kejohanan Sukan SEA ke-28, Lawrence Wong dalam ucapannya berkata, kejohanan Sukan SEA ke-28 di Singapura pasti memberi kelainan selepas mereka kali terakhir menganjurkan kejohanan dwitahunan ini pada 1993.

“Kejohanan Sukan SEA kali ini merupakan yang istimewa kerana telah lebih 20 tahun kami tidak menjadi tuan rumah dan bertambah manis, tahun ini ialah hari lahir yang ke-50 buat Singapura.

“Kepada semua atlet, pegawai dan rakan-rakan kita dari seluruh Asia Tenggara, selamat datang kami ucapkan dan diharapkan kejohanan Sukan SEA kali ke-28 dapat berjalan dengan penuh sempurna,” katanya.

Kira-kira 7,000 atlet serta pegawai dari 11 negara bersaing dalam 39 jenis sukan yang menawarkan 402 pingat emas manakala Malaysia menghantar sebanyak 641 atlet termasuk 292 atlet wanita serta 268 pegawai ke temasya kali ini.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meletakkan sasaran kontinjen negara meraih 56 peratus pingat yang ditawarkan untuk mengatasi angka 55.6 peratus dalam lima kejohanan Sukan SEA yang lepas.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam Sukan SEA di luar Kuala Lumpur ialah di Korat, Thailand pada 2007 dengan kutipan 68 pingat emas, 52 perak dan 96 gangsa.

Malaysia kali ini menyertai 35 daripada 36 acara dengan acara perlumbaan perahu tradisional sahaja tidak disertai kontinjen negara. 

Sumber:UTUSAN

No comments:

Post a Comment