Saturday, June 6, 2015

Khairy salahkan FAM

Khairy Jamaluddin

SINGAPURA – “Dalam hal ini FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) perlu dipersalahkan seratus peratus.”

Itu tegas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang mengulas prestasi hambar skuad Bawah 23 (B-23) negara dalam kempen Sukan SEA 2015.

Katanya, sistem dalam FAM yang tidak begitu baik selain persatuan negeri yang tidak berupaya menghasilkan pemain berbakat menjadi punca utama masalah untuk membentuk skuad yang kuat.

Tambah Khairy, FAM perlu menyelesaikan isu utama dalam sistem yang diguna pakai sekarang jika mahu bola sepak berada di kedudukan terbaik.

“Kalau kita lihat banyak pemain muda datang dari sekolah sukan dan bukan dari pihak persatuan atau akademi negeri.

“Bagi saya corak permainan pasukan yang tidak begitu menarik semuanya berpunca akibat tidak ada pengalaman dan jurulatih yang bagus yang semuanya berbalik semula kepada FAM sendiri,” katanya ketika ditemui sebaik sahaja tiba di sini semalam.

Skuad bimbingan jurulatih Datuk Ong Kim Swee mempamerkan prestasi buruk dalam penyertaan mereka di Sukan SEA kali ini selepas tewas kepada Vietnam dan Thailand setelah sebelumnya hanya menang tipis ke atas Timor Leste.

Dalam perlawanan menentang Timor Leste, skuad negara sekadar menang 1-0 setelah beraksi dengan 10 pemain selepas pemain Nazmi Faiz Mansor dilayangkan kad merah kerana meludah pemain lawan dan digantung enam perlawanan.

Kini peluang skuad negara untuk melangkah ke pusingan seterusnya memerlukan keajaiban iaitu mengharapkan Thailand kalah dalam baki dua perlawanan iaitu menentang Brunei hari ini dan kemudian Vietnam.

Skuad negara pula dijadual menentang Brunei pada Isnin ini di Stadium Bishan sebelum bertemu Laos.

Sementara itu Ketua Kontinjen Negara, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menganggap kegagalan skuad negara melepasi peringkat kumpulan umpama siren kecemasan kepada FAM agar sedar daripada tidur dan awas bahawa Malaysia tidak akan sentiasa menjadi kuasa bola sepak di Asia Tenggara.

Beliau juga bersetuju dengan apa yang diluahkan oleh Kim Swee bahawa skuad ini perlu dihimpunkan lebih awal untuk menghadapi temasya Sukan SEA seperti mana perancangan rapi yang dilakukan oleh kebanyakan negara lain.

“Dari segi persiapan, banyak kerja kena dilakukan pada masa depan dan kita kena buat post mortem dari aspek teknikal dan pengurusan, apa yang terjadi di peringkat akar umbi serta memotivasikan pemain muda kita selepas ini.

“Saya amat setuju dengan pandangan bahawa pasukan ini perlu diberikan masa lebih awal untuk melakukan persediaan dan kita boleh nampak kebanyakan pasukan lain mempunyai perancangan jangka panjang serta pendek.

“Jadi kita kena buat perkara yang sama terutama dalam aspek teknikal dan mental,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Saguhati kepada Kontinjen Pelayaran Sukan SEA.

Sumber: UTUSAN


No comments:

Post a Comment