Saturday, June 6, 2015

Natasha Ezzra mahu tebus kehampaan


NATASHA Ezzra mengintai peluang meraih pingat dalam acara berpasukan foil hari ini selepas mengalami kekecewaan dalam acara individu apabila tewas kepada atlet Singapura pada peringkat suku akhir.

SINGAPURA – Atlet lawan pedang wanita negara, Natasha Ezzra Abu Bakar bertekad menebus kegagalan dalam acara foil perseorangan apabila turun membuat perhitungan dalam acara berpasukan di Arena OCBC hari ini.

Niat Natasha Ezzra untuk mempertahankan pingat gangsa yang dimenanginya pada temasya yang berlangsung di Palembang, Indonesia empat tahun lalu tidak kesampaian.

Ia gara-gara atlet berusia 24 tahun itu kecundang 14-15 ke atas atlet Singapura, ­Wenying Wang dalam satu pertarungan sengit pada saingan suku akhir, Rabu lalu.

Sehubungan itu, Natasha Ezzra kini bertekad membalas dendam terhadap ke­gagalan itu apabila bergandingan dengan Shaidatul Shafiqah Ab. Hamid, Ivy Cheah Hsiao Yong dan Fong Tyanne pada aksi suku akhir acara berpasukan menentang Filipina hari ini.

“Kecewa memang ada kerana gagal me­raih pingat dalam acara perseorangan wanita (Rabu lalu). Saya akui mungkin agak tertekan dengan sandaran pingat emas terhadap saya sebelum ini.

“Kekalahan ini tidak akan mematahkan semangat saya kerana kami masih ada acara foil berpasukan selepas ini. Saya akan cuba memberikan yang terbaik nanti.

“Saya harap kami dapat mara ke pe­ringkat separuh akhir, sekurang-kurang­nya berjaya menang pingat gangsa buat kontinjen negara,” katanya ketika ditemui semalam.

Selain acara foil berpasukan wanita, kem lawan pedang negara turut berjuang dalam acara berpasukan lelaki hari ini iaitu epee dan sabre pada saingan suku akhir.

Skuad epee lelaki yang dibarisi Shatyavanan Murthy, Mohamad Roslan Mohamed, Koh I Jie dan Mohamad Ammaraluddin Mohamad Daud menentang Indonesia manakala gandingan Wong Tzer Chyuan, Mohamad Shafiq Rizal, Adam Nicholas Lindbichler serta Yu Peng Kean (sabre) akan berdepan ancaman Filipina.

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment