Pemenang pingat perak acara 200 meter lelaki Sukan SEA Myanmar, Harith Ammar Mohd Sobri meluahkan kerisauan apabila namanya tiada dalam senarai acara itu, sebaliknya hanya didaftar untuk 4x100m lelaki di temasya Sukan SEA Singapura.
Pada edisi 2013, atlet berusia 20 tahun berasal dari Terengganu itu meraih perak dengan catatan 21.46s.
“Saya tidak faham kenapa didaftar untuk acara 4x100m, mungkin disebabkan kesilapan teknikal, namun saya tidak menyalahkan mana-mana pihak dalam hal ini.
“Diharapkan nasib akan menyebelahi saya apabila Ketua Kontinjen Negara Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria membangkitkan perkara itu pada mesyuarat ketua kontinjen negara dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi BERNAMA, semalam.
Harith Ammar berkata, sekiranya rayuan gagal, dia tetap optimis untuk menyempurnakan misi memburu emas bersama rakan sepasukan bagi acara 4x100m, Badrul Hisyam Abdul Manap, Dinesh Krishnan dan Eddie Edward Junior pada 12 Jun ini.
Menurutnya, catatan masa peribadi terbaik yang pernah dicatatnya dalam acara 200m lelaki ialah 10.50s ketika Kejohanan Olahraga Terbuka Perak yang berlangsung di Ipoh pada 23 dan 24 Mei lalu.
“Sekiranya dapat bertanding dalam acara 200m, saya berazam membaiki catatan masa peribadi terbaik kepada 20.13s,” katanya.
Harith Ammar berkata, beliau menjangkakan saingan hebat acara olahraga di Sukan SEA sudah pasti datang daripada atlet negara Thailand dan Singapura.
“Saya juga perlu berhati-hati dengan atlet Indonesia walaupun mereka bukan kuasa besar sukan ini apabila dilihat semakin menyerlah dalam beberapa kejohanan peringkat Asia Tenggara,” katanya.
Sumber: Harian Metro
No comments:
Post a Comment