Selepas gagal membawa pulang emas sepanjang dua edisi lalu, skuad taekwondo negara bertekad menamatkan kemarau itu di temasya Sukan SEA Singapura yang akan menyingkap tirai secara rasminya Jumaat ini.
Pengurus Anuar Idris berkata, semua persediaan untuk mengharungi temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu berjalan lancar dengan anak buahnya ada yang sudah pulang dari menuntut ilmu di luar negara.
“Pada 27 Mei hingga 6 Jun, tiga atlet lelaki dan seorang wanita yang beraksi dalam acara poomsae berlepas ke Vietnam manakala untuk acara kyorugi, tiga lelaki dan tiga wanita berlepas ke Korea Selatan sejak 8 Mei lalu sudah pulang.
“Mereka diberi tunjuk ajar daripada jurulatih di sana. Kami sasarkan untuk layak ke akhir menerusi acara kyorugi dan poomsae, sekali gus mencipta kejutan membawa pulang emas,” katanya.
Kali terakhir skuad kebangsaan meraih emas ketika Sukan SEA 2009 Laos menerusi Che Chew Chan dalam acara wanita bawah 73 kilogram.
Anuar berkata, beliau bagaimanapun tidak mahu skuad kebangsaan memandang rendah lawan terutama pasukan tuan rumah yang dilihat mampu memberi tentangan hebat.
“Antara negara yang sukar untuk ditundukkan termasuk Thailand, Indonesia dan Singapura.
“Kita sedar, pungutan mata dari sukan seperti taekwondo adalah subjektif. Apapun yang terjadi, saya harap mereka (skuad kebangsaan) tidak patah semangat dan cuba dapatkan semula emas yang selama ini kita nanti-nantikan,” katanya.
Sumber: Harian Metro
No comments:
Post a Comment