Wednesday, June 3, 2015

Atlet negara perlu jaga imej


Diam tak diam sudah lima hari saya berada di Singapura bagi tugasan temasya Sukan SEA edisi ke-28 ini. Yang kedua selepas Indonesia 2011.

Tidak banyak acara yang bermula lagi sebelum perasmian Jumaat ini melainkan beberapa acara seperti pingpong, renang berirama, bola sepak dan bola jaring dengan kehadiran atlet 11 negara bertanding tiba secara berperingkat.

Tahniah buat beregu pingpong wanita negara Ho Ying-Lee Rou You yang menyumbang pingat pertama Malaysia semalam walaupun sekadar gangsa namun boleh dianggap permulaan baik buat kontinjen negara yang bakal berjuang hingga obor temasya dipadam pada 16 Jun ini.

Sekurang-kurangnya kejayaan itu boleh mengalih tumpuan ramai di temasya sukan ini khususnya peminat tempatan dikejutkan dengan insiden memalukan pemain bola sepak negara Muhammad Nazmi Faiz Mansor yang dibuang padang kerana meludah pemain Timor Leste Sabtu lalu.

Pemain tengah itu sudah dihukum digantung perlawanan atas tindakan diakui ‘spontan’ itu dan ia juga seharusnya menjadi peringatan kepada semua atlet dan pegawai supaya sentiasa menjaga tingkah laku serta semangat kesukanan tinggi demi menjaga imej negara.

Sebagai penyokong, cukuplah mengkritik dan mengecam Nazmi sebaliknya kembali kepada peranan kita dari luar dengan memberi kata-kata semangat kepada kontinjen negara yang bertanding kali ini.

Mungkin kita boleh lihat bagaimana rakyat Singapura memberikan sokongan kepada atlet mereka menerusi penganjuran kali ini.

Tidak hairanlah beberapa venue pertandingan seperti akuatik, bola jaring dan pingpong sudah dipenuhi penyokong tuan rumah.

Malah lebih mengagumkan apabila puluhan ribu penyokong tempatan memenuhi Stadium Nasional Sabtu lalu hanya kerana mahu menyaksikan raptai upacara perasmian.

Malaysia bakal menjadi tuan rumah temasya dwi tahunan ini dua tahun lagi, justeru aspek sokongan seperti ini perlu kita titik beratkan.

Ayuh Malaysia, kita boleh lakukan!

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment