Merakamkan masa 3 minit 53.97 saat, dia mengatasi rekod rakan senegara Daniel Bego iaitu 3:53.99s yang dilakukan di Laos.
Pingat emas itu boleh dianggap sebagai penawar duka kepada kem negara pada hari terakhir acara renang semalam, untuk membawa pulang tiga pingat emas, gagal untuk sekurang-kurangnya menyamai pencapaian empat pingat emas di Myanmar dua tahun lalu.
Welson begitu teruja dengan kejayaan itu kerana dia tidak pernah terfikir untuk memecahkan rekod dalam penampilan pertamanya di Sukan SEA.
“Secara jujurnya, memang tidak menjangkakan yang saya boleh memecahkan rekod kerana saya hanya mahukan pingat emas sahaja.
“Sebelum ini, catatan terbaik yang saya lakukan ialah 3:55.93s dan memperbaharui rekod adalah satu bonus kepada saya.
“Siapa tidak gembira dapat memecahkan rekod Daniel, malah dia sendiri datang mengucapkan tahniah kepada saya dan dia turut memberitahu dia gembira dengan kejayaan saya.
“Sasaran saya pada masa depan adalah untuk melakukan yang terbaik dalam Kejohanan Dunia kerana ia adalah penyertaan pertama saya dalam acara 200m dan 400m gaya bebas,” katanya.
Daniel turut beraksi dalam acara itu namun menduduki tempat keempat dengan catatan 3:58.34s.
Seorang lagi perenang negara Wong Fu Kang menambah koleksi pingatnya apabila meraih gangsa dalam acara 50 meter kuak dada lelaki dengan masa 28.67s yang memperbaharui rekod kebangsaan 28.69s milik Shaun Yap yang dilakukan pada 2013.
Chui Lai Kwan pula terlepas pingat apabila ketinggalam 0.03s kepada Jasmine Alkhaldi dari Filipina yang mencatat masa 25.79s untuk meraih gangsa dalam acara 50m gaya bebas. – UTUSAN