Wednesday, June 17, 2015

Tiada Istilah 'Makan Angin' Di Singapura - CDM

SINGAPURA, 16 Jun (Bernama) -- Ketua kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan SEA ke-28 Singapura Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria memuji kesungguhan ditampilkan atlet dan pegawai pengiring negara yang bekerja keras sepanjang berlangsungnya temasya sukan dwitahunan itu dari 5 hingga 15 Jun.

Beliau berkata kesemua 640 atlet dan 90 pegawai yang menyertai kontinjen Malaysia kali ini, berjaya membuktikan bahawa mereka bukan ke sini untuk 'makan angin', sebaliknya menggalas cabaran negara sekali gus mengatasi rekod pencapaian pada tiga edisi Sukan SEA sebelum ini iaitu di Myanmar (2013), Indonesia (2011) dan Laos (2009).

Kontinjen negara mengakhiri cabaran di Singapura dengan membawa pulang 62 pingat emas, 58 perak dan 66 gangsa.

"Saya boleh katakan tiada istilah makan angin di Singapura apabila semua pegawai bekerja keras bagi memastikan semua urusan pentadbiran berjalan lancar agar ia tidak membebankan atlet," katanya kepada pemberita Selasa.

Katanya pegawai pengiring telah bekerja keras seolah-olah Malaysia menjadi tuan rumah pada kali ini, dan budaya kerja itu perlu diteruskan apabila Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur pada 2017.

Norza berkata pegawai pengiring telah diberi pendedahan awal menerusi beberapa bengkel yang dianjurkan Majlis Sukan Negara (MSN) agar mereka memahami tugas dan tanggungjawab yang perlu dipikul.

"Kecuaian tugas hampir tidak berlaku di sini (Singapura) apabila saya tidak mendengar sebarang rungutan daripada atlet," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment