Tuesday, June 9, 2015

Thor raja snuker

“Dia langsung tak goyah, sentiasa tenang dan sedikit sebanyak, tahap keyakinan saya pula yang agak terganggu.

“Ini penyertaan pertamanya dan saya tidak sangka dia mampu bermain dengan tahap tinggi seperti itu.

“Sebelum Sukan SEA bermula, saya jangka saingan pasti dihadirkan pemain Thailand Thanawat (Tirapongpaiboon) tapi saya silap.

“Rupa-rupanya Htet (Ko) bermain lebih baik berbanding Thanawat. Hanya pengalaman yang memisahkan kami,” kata Thor Chuan Leong (gambar) sejurus mempertahankan emas acara snuker individu selepas mengalahkan Htet Ko dari Myanmar dengan keputusan 4-2.

Kemenangan yang diraih Chuan Leong di OCBC Arena itu bukan mudah sebaliknya dia terpaksa memerah segenap pengalaman sepanjang dua jam 43 minit sebelum muncul juara.

Justeru, tidak hairanlah mengapa Chuan Leong merasa sangat lega apabila menang kerana saingan yang diberikan Htet Ko bukan mudah untuk diatasi.

“Saya yakin dia akan menjadi bintang masa depan. Sepanjang perlawanan tadi, dia kelihatan cukup matang dan saya terpaksa menunggu hingga dia melakukan kesilapan untuk mengatasinya.

“Saya gembira dengan kejayaan ini apatah lagi menyumbang satu lagi emas untuk negara,” katanya yang akan beraksi dalam acara beregu bersama Moh Keen Hoo, hari ini.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment