Friday, June 5, 2015

Sukan ASEAN idea bijak

Kuala Lumpur: Cadangan untuk menukarkan nama Sukan SEA kepada Sukan ASEAN disambut baik pengkritik sukan tanah air Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim dengan menyarankan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memperhalusi semula idea itu biarpun pernah ditolak sebelum ini.

Sambil menolak alasan dikemukakan Setiausaha Kehormat MOM Datuk Sieh Kok Chi yang menyatakan nama Sukan SEA harus dikekalkan bagi mengelak pengaruh politik, beliau sebaliknya percaya langkah penjenamaan semula temasya dwitahunan itu mampu mewujudkan ekosistem baru yang lebih baik seiring dengan kewujudan komuniti ASEAN.

Katanya, politik dan sukan sememangnya saling berkait malah berdasarkan kajiannya banyak perkara positif berlaku menerusi penganjuran sukan itu yang akhirnya menyatukan beberapa negara yang sebelum itu bergolak susulan masalah politik di negara mereka.

“Politik dan sukan memang tidak boleh dipisahkan, walaupun kita tahu kadang kala ia juga membawa perkara buruk kepada perkembangan sukan sekiranya ada campur tangan politik.

“Tapi dalam konteks Asia Tenggara ini, menerusi kegiatan sukan kita dapat menyelesaikan masalah politik yang pernah berlaku dulu. Contohnya, dulu Filipina dan Indonesia memboikot kewujudan Malaysia dengan melancarkan konfrontasi terhadap kita.

“Namun selepas adanya temasya seperti Sukan SEAP (Sukan Semenanjung Asia Tenggara) dan kemudian ditukar ke Sukan SEA, hubungan kita dengan negara berkenaan pulih, malah ketika saingan sukan itu berlangsung atlet kedua-dua negara dilihat mesra dan harmoni.

“Jadi, apalah salahnya sekiranya cadangan untuk tukarkan namanya ke Sukan ASEAN dibincang semula kerana saya rasa ia mampu menaikkan semangat perpaduan dan kerjasama erat selari dengan dasar komuniti ASEAN yang wujud sekarang,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Dalam laporan Arena Metro semalam, Kok Chi menolak cadangan Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad yang mahu membentangkan kepada MOM bagi menukarkan nama temasya dwitahunan berkenaan sebelum berlangsung di Kuala Lumpur pada 2017.

Naim berpandangan, sebarang acara seperti sukan, kebudayaan dan kesenian perlu berubah apabila komuniti dan ekonomi ASEAN ditubuhkan.

“Memandangkan Malaysia sekarang Pengerusi ASEAN, saya rasa ini masa yang tepat dan sesuai untuk melakukan sebarang perubahan khususnya demi kebaikan bersama negara serantau.

“Untuk rapatkan hubungan dan perpaduan, bukan saja melalui ekonomi tapi juga boleh dilakukan menerusi sukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment