Sunday, June 7, 2015

Sukan Air Penyumbang Terbanyak Pingat Kontinjen Malaysia

SINGAPURA, 7 Jun (Bernama) -- Sukan air menjadi penyumbang pingat emas terbanyak dengan empat pingat pada hari ketiga temasya Sukan SEA di sini, hari ini.

Antara acara sukan air yang menyumbang pingat ialah perahu layar, terjun dan renang.

Di samping itu satu pingat emas turut diraih melalui acara gimnastik artistik melalui acara berpasukan wanita.

Acara terjun terus menjadi lubuk pingat dengan pertambahan dua lagi pingat emas hari ini melalui Ooi Tze Liang dalam acara 3m papan anjal lelaki dan gandingan Leong Mun Yee-Traisy Vivien Tukiet dalam acara 10m platform seirama wanita.

Sementara Wong Fu Kang memberi keceriaan kepada skuad renang negara selepas meraih pingat emas dalam acara 100m kuak dada lelaki dan sekali gus pingat emas pertama skuad itu pada temasya kali ini.

Selain berjaya meraih pingat emas pertama selepas membuat penampilan kedua dalam temasya Sukan SEA, Fu Kang turut memperbaharui rekod kebangsaan miliknya dalam acara yang sama.

Pusat Akuatik OCBC turut menyaksikan timbul salah faham pihak media dengan pihak pengurusan skuad terjun negara.

Pihak media Malaysia gagal menemu bual Tze Liang dan Mun Yee kerana mendapat arahan daripada Ketua Jurulatih, Yang Zhuliang untuk tidak berjumpa pihak media dan segera kembali ke hotel penginapan sebaik sahaja upacara penyampaian pingat.

Bagaimanapun pengurus pasukan, Mae Chen memberi kebenaran kepada pihak media Malaysia untuk menemubual Traisy Vivien selepas beliau selesai membuat ujian doping yang menjadi prosedur biasa dalam mana-mana temasya sukan dan melibatkan semua pemenang pingat.

Sementara itu Mae Chen juga menafikan bahawa timbul isu berkaitan doping melibatkan Tze Liang kerana pihak media terpaksa menunggu lebih dua jam untuk menemu bual beliau tetapi gagal.

Di arena sukan perahu layar pula, Malaysia meraih pingat emas dalam acara Optimist berpasukan Bawah-16 tahun.

Skuad negara yang diterajui jurumudi cilik, Muhammad Fauzi Kaman Shah yang berusia 12 tahun mengenepikan saingan pasukan tuan rumah pada peringkat akhir untuk pingat emas pertama Malaysia dalam acara perahu layar.

Kontinjen negara meraih pingat di luar jangkaan melalui acara triatlon lelaki melalui Rikigoro Shinozuka selepas meraih pingat perak dalam acara itu.

Hasrat negara untuk membawa pulang pingat emas acara bola jaring yang kali terakhir dipertandingkan pada edisi Kuala Lumpur pada 2001 tidak kesampaian selepas tewas 43-46 kepada pasukan ranking ke-17 dunia, Singapura.

Pasukan ragbi tujuh sebelah negara pula meraih pingat perak setelah tewas 7-24 kepada Filipina pada perlawanan akhir hari ini.

Hari keempat temasya esok menawarkan sejumlah 36 pingat emas dengan acara wushu yang akan menutup gelanggang menawarkan sembilan daripadanya.

Setakat hari ini, kontinjen negara masih kekal di kedudukan kelima dengan lapan emas, 16 perak dan 15 gangsa.

Sumber: BERNAMA

No comments:

Post a Comment