Saturday, June 6, 2015

Skuad negara belum cukup bagus


PARA pemain negara melangkah dengan penuh kekecewaan selepas tewas 0-1 kepada Thailand pada perlawanan ketiga peringkat Kumpulan B Sukan SEA 2015 di Stadium Bishan, Singapura kelmarin.

SKUAD bola sepak Bawah 23 (B-23) tahun negara masih belum cukup bagus apabila terus mengalami kekalahan pada Sukan SEA 2015 di Singapura.

Kelmarin, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu tewas 0-1 kepada Thailand pada perlawanan ketiga pe­ringkat Kumpulan B.

Sebelum itu mereka tewas 1-5 kepada ­Vietnam walaupun menang 1-0 ke atas Timor Leste pada aksi pembukaan minggu lepas.

Ekoran kekalahan kepada Thailand kelmarin, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima hakikat bahawa skuad muda negara itu masih belum mencapai tahap yang memuaskan.

Ia diakui Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin (gambar kecil) selepas menyaksikan skuad negara tewas 0-1 kepada Thailand, sekali gus menyukarkan peluang mereka untuk melepasi saingan peringkat Kumpulan B yang turut dibarisi Timor Leste, Vietnam, Brunei dan Laos.

Kelmarin, impian skuad B-23 negara untuk menghidupkan peluang ke peringkat ke separuh akhir berkecai selepas tewas kepada Thailand dan setakat ini mereka sekadar mengutip tiga mata.

Thailand dan Vietnam kini berkongsi sembilan mata, sekali gus muncul sebagai pasukan pilihan layak ke separuh akhir.

Mengulas lanjut, Hamidin memberitahu, FAM mengakui peluang skuad negara sudah tertutup dalam misi melepasi peringkat kumpulan.

Begitupun, beliau menegaskan bahawa FAM akan bekerja lebih keras bagi memastikan pe­rancangan dan persediaan skuad B-23 lebih tersusun menjelang Sukan SEA edisi 2017.

“Terimalah hakikat bahawa skuad muda Thailand dan Vietnam adalah lebih baik berbanding pasukan negara.

“Secara matematik, saya fikir peluang kita sudah tertutup untuk melepasi peringkat kumpulan tetapi FAM akan membuat analisis terhadap kegagalan ini.

“Satu mesyuarat khas akan diadakan bersama barisan jurulatih bagi mengenal pasti kelemahan-kelemahan dan saya percaya FAM akan berusaha untuk tampil lebih baik pada edisi 2017 nanti,” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Dalam perkembangan sama, Hamidin memberitahu bahawa masa depan Kim Swee bersama pasukan B-23 akan terjawab pada Mesyuarat Pengurusan Skuad Kebangsaan yang bakal dipengerusikan oleh Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada bulan depan.

“Kita akan mengetahui sama ada Kim Swee terlibat atau sebaliknya untuk perancangan Sukan SEA 2017 nanti.

“FAM akan membuat bedah siasat secepat mungkin selain akan mengadakan mesyuarat pada awal Julai nanti,” katanya.

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment