Thursday, June 11, 2015

Skuad hoki lelaki temu Singapura di final

SINGAPURA, 10 Jun (Bernama) -- Skuad hoki lelaki berada dalam kelas tersendiri selepas mengekalkan rekod tanpa kalah, sekali gus menempah tiket ke final Sukan SEA ke-28 di sini, Jumaat ini.

Pada perlawanan akhir pusingan awal hari ini, skuad negara yang dibarisi sepenuhnya pemain junior, tidak berdepan masalah untuk mengalahkan Myanmar walaupun meraih kemenangan tipis 2-0 di Stadium Hoki Sengkang di sini.

Selaku juara bertahan, Malaysia menghasilkan jaringan pertama menerusi jaringan padang oleh Nor Azrul Abdul Rahman pada minit ke-28.

Bersambung babak kedua perlawanan, Myanmar memberikan saingan sengit namun Aminuddin Mohd Zain bertindak cemerlang dengan menyempurnakan percubaan pukulan penalti pada minit ke-68.

Menanti skuad bimbingan Arul Selvaraj di final nanti adalah Singapura yang mengalahkan Thailand 4-0 untuk menghuni kedudukan kedua terbaik.

Pengurus pasukan, Minarwan Nawawi berkata walaupun skuad baharu itu tidak setanding seperti skuad senior yang meraih kemenangan bergaya pada temasya dwitahunan itu dua tahun lepas di Myanmar namun pemain mempamerkan semangat tinggi untuk mengekalkan rekod tanpa kalah.

"...Yang penting kita menang dan mengekalkan rekod tanpa kalah sebelum ke final, dulu kita menggunakan pemain senior yang mempunyai pengalaman besar berbanding skuad junior ini.

"Skuad kali ini dibarisi oleh pemain bawah 20 tahun dan pertama kali beraksi di Sukan SEA. Saya lihat semangat mereka tinggi untuk menang dalam semua perlawanan. Pada perlawanan hari ini, Myanmar bermain sangat defensif dan menyukarkan pemain masuk di kawasan 'D', katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment