Sunday, June 14, 2015

Skuad Gimnastik Berirama Negara Raih Perak Acara Berpasukan Keseluruhan

SINGAPURA, 14 Jun (Bernama) -- Pasukan gimnastik berirama negara menambah sebutir pingat perak dalam acara berpasukan keseluruhan pada Sukan SEA ke-28 Singapura yang berlangsung di Dewan Sukan Bishan hari ini.

Gimnas negara yang dibarisi Chai Xin Nong, Chan Mei Thung, Loo Shiow Yng, Thew Yue Jia, Yap Qian Ling Yap dan Yap Sin Lu mengumpul 27.400 mata menerusi tiga disiplin iaitu riben, belantan dan gelung.

Pingat emas dimenangi pasukan Singapura dengan jumlah 27.700 mata, manakala pingat gangsa diraih Thailand dengan 22.150 mata.

Sementara itu, di Stadium Tertutup Singapura, dua pemain perseorangan lelaki negara Chong Wei Feng dan Mohamad Arif Ab Latif mara ke separuh akhir acara badminton, esok.

Wei Feng menewaskan Christie Jonatan dari Indonesia 20-22, 21-19, 21-18, manakala Mohamad Arif mengalahkan pemain Thailand, Boonsak Ponsana 22-20, 19-21, 21-19, masing-masing dalam perlawanan suku akhir hari ini.

Goh Jin Wei pula mara ke separuh akhir selepas mengalahkan Nichaon Jindapon dari Thailand 21-16 dan 23-21 dalam acara perseorangan wanita.

Dua beregu wanita negara turut cemerlang apabila Vivian Hoo/Woon Khe Wei menewaskan gandingan Nguyen Thi Sen/Vu Thi Trang dari Vietnam 21-12 dan 21-9 manakala gandingan Alicia Anscelly/Soong Fie mengalahkan beregu utama Thailand, Puttita Supajirakul/Sapsiree Taerattanachai 22-24, 21-17, 21-16.

Turut mara ke separuh akhir ialah dua beregu campuran negara, Tan Aik Quan/Lai Pei Jing yang menewaskan pasangan Indonesia Praveen Jordan/Debby Susanto 21-17, 21-23, 21-17, manakala Chan Peng Soon/Goh Liu Ying mengalahkan Aung Myo Htoo/Khaing Zar Lin dari Myanmar 21-9 dan 21-16.

Sumber -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment