Sunday, June 7, 2015

Semangat membara Ayuni

Pingat perak yang diraih pada acara pertama menembak di temasya Sukan SEA Singapura semalam sudah cukup untuk membakar semangat atlet wanita negara Nur Ayuni Farhana Abdul Halim (gambar) untuk memperbaiki pencapaian terbaiknya di temasya dwi tahunan itu.

Di Myanmar, dua tahun lalu, penembak berusia 25 tahun itu kempunan beraksi selepas tuan rumah hanya mempertandingkan acara prone.

Kali ini Ayuni berpeluang menebus kehampaan itu apabila beraksi dalam tiga acara 10m air riffle, 50m prone dan 50m tiga posisi (3P).

Atlet dari Pahang itu bersama Nur Suryani Taibi dan Muslifah Zulkifli membidik perak dalam acara 10m air rifle berpasukan wanita, manakala bagi individu dia merangkul gangsa.


Dia masih tercari-cari emas pertama selepas dua temasya sebelum ini di Laos 2009 hanya merangkul perak berpasukan, individu (gangsa) dan Palembang 2011 (gangsa individu 3P).

“Ini penampilan ketiga di Sukan SEA, sememangnya saya mahu memperbaiki pencapaian peribadi saya sebelum ini.

“Di Myanmar saya tidak pergi kerana hanya ada satu acara iaitu prone dipertandingkan.

“Selepas itu saya berhati-hati dengan turut memberi tumpuan kepada banyak acara kerana pihak penganjur Sukan SEA boleh membuat keputusan ‘suka hati’ memilih acara yang mereka mahu dipertandingkan,” katanya.

Ayuni yang mula menyertai pertandingan antarabangsa sejak 2007 pernah meraih emas bersama Nur Suryani Taibi dalam acara 10m air rifle berpasangan di Sukan Komanwel New Delhi 2010.

Bagaimanapun, dia meletakkan sasaran tinggi untuk layak beraksi di Sukan Olimpik Rio tahun depan selepas cubaannya pada dua temasya sukan sebelum ini di Beijing dan London gagal.

Untuk merealisasikan impian itu, Ayuni perlu menyerlah dalam beberapa kejohanan antarabangsa termasuk Kejohanan Menembak Asia di Kuwait November ini.

“Itu memang impian saya, harap boleh melakukannya kali ini. Saya tahu bukan mudah namun tiada yang mustahil,” katanya.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment