Sunday, June 7, 2015

Penerjun dalam kelas tersendiri


WAJAH-wajah emas (dari kiri) Yan Yee, Yiwei, Tze Liang dan Jun Hoong menyumbang dua pingat emas buat kintinjen negara pada hari pertama acara terjun di Pusat Akuatik OCBS, Singapura semalam.

SINGAPURA – Skuad terjun bermula dengan terjunan emas sebaik acara tersebut membuka tirai di Pusat Akuatik OCBC, semalam.

Dua emas berjaya dirampas iaitu menerusi Cheong Jun Hoong dalam acara 3 meter (m) papan anjal wanita dan gandingan Ooi Tze Liang-Chew Yi Wei yang menggalas cabaran dalam acara 10m platform seirama.

Jun Hoong yang tampil cemerlang pada aksi pembuka tirai itu, memungut 349.65 mata, sekali gus mengatasi rakan senegara, Ng Yan Yee yang menamatkan saingan dengan 309.20 mata.

Jun Hoong berjaya mencatat mata ter­tinggi pada terjunan pertama dengan me­ngutip 72.00 mata sebelum mencatat mata tertinggi pada terjunan kelima iaitu yang terakhir apabila mencatat 73.95 mata.

Pasukan tuan rumah yang diwakili dua penerjun, gagal menyaingi dua atlet negara apabila wakil mereka Fong Kay Yian hanya berjaya mencatat 258.90 mata untuk meraih pingat gangsa.

Sementara itu, Jun Hoong yang baharu sahaja pulang daripada Kejohanan Terjun Siri Dunia di Mexico mengakui tertekan, namun enggan memikirkan perkara tersebut, sebaliknya hanya fokus terhadap terjunan yang dilakukan.

“Saya hanya fokus dengan persembahan walaupun saya sedar rakan sepasukan (Yan Yee) turut bersaing dalam acara ini dan mampu mencabar saya. Walaupun turun sebagai penyandang juara selepas meraih pingat emas di Myanmar dua tahun lalu, saya enggan terlalu memikirkan perkara itu dan hanya buat apa yang sepatutnya saya buat,” katanya ketika ditemui semalam.

Beliau yang hanya menyertai acara 3m papan anjal pada Sukan SEA kali ini juga berharap, atlet muda yang berada dalam kontinjen negara pada temasya kali ini harus tampil memberikan aksi yang terbaik, sekali gus mengulangi pencapaian lapan pingat emas ketika di Myanmar dua tahun lalu.

Biarpun persaingan di Sukan SEA tidak sehebat Kejohanan Siri Dunia, namun Jun Hoong mengakui bahawa ia merupakan saingan yang kompetitif dan memberinya peluang untuk memperbaiki persembahan sebelum menyertai kejohanan yang lebih besar.

Dalam pada itu, bagi Yan Yee Sukan SEA kali ini merupakan penyertaan keempatnya dan kejayaan memenangi pingat perak tetap memberi makna yang besar dalam kariernya.

“Saingan di sini cukup baik untuk saya kerana apa sahaja kesilapan yang saya lakukan saya dapat kenal pasti dan sekurang-kurang saya mampu memperbaikinya sebelum ke kejohanan lebih besar. Saya gembira dengan kejayaan ini,” jelasnya.

Kejayaan yang dibuktikan oleh dua pe­nerjun wanita negara itu terus dijejaki oleh gandingan Tze Liang-Yi Wei yang turut berada di puncak prestasi dalam acara 10m platform seirama lelaki.

Seawal terjunan pertama, pasangan negara berada dalam kelas tersendiri de­ngan mencatat 52.20 sebelum mengakhiri enam pusingan untuk mengumpul mata keseluruhan sebanyak 404.37 mata, sekali gus menewaskan saingan terdekat, Andriyan dan Adityo Restu Putra dari Indonesia dengan ketinggalan 49.26 mata sementara pingat gangsa di raih Theerapat Siribon dan Yo Junthapadawon dari Thailand.

Yi Wei yang ditemui nyata gembira dengan keputusan tersebut terutama ia merupakan pingat emas pertama yang dimenangi selepas dua Sukan SEA.

Pada temasya di Myanmar dua tahun lalu, dia meraih pingat gangsa dalam acara 3m papan anjal.

“Saya sangat gembira dengan penca­paian ini. Kami hanya mahu mengekalkan konsistensi walaupun ia bukanlah persembahan terbaik. Latihan intensif di China selama sebulan nyata memberi banyak manfaat untuk kami dari segi kualiti terjunan dan membantu kemena­ngan hari ini.

“Kami mahu melakukan yang terbaik dan pingat emas ini saya dedikasikan kepada jurulatih saya, pihak persatuan dan Majlis Sukan Negara yang banyak membantu. Pingat emas ini juga memberi saya semangat untuk beraksi pada acara 10 meter platform individu pada Isnin ini,” katanya ketika ditemui semalam.

Dalam pada itu, Yi Wei percaya pasukannya mampu mengulangi kejayaan meraih lapan pingat emas ketika di Myan­mar.

“Kita akan tunggu dan lihat hasilnya. Kami menjalani latihan lebih kuat berbanding ketika persiapan ke Myanmar dan saya fikir tidak mustahil untuk kami me­ngulangi kejayaan yang sama,” jelasnya.

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment