Sunday, June 7, 2015

Hoki, ragbi bermula garang


HANIS Nadia tampil cemerlang untuk membantu skuad wanita negara membelasah Singapura pada aksi pembuka tirai acara hoki Sukan SEA 2015 di Singapura, semalam.

SINGAPURA – Skuad hoki wanita negara memberi amaran awal bahawa mereka tetap menjadi pasukan pilihan apabila membelasah Singapura 7-0 pada perlawanan pembukaan temasya Sukan SEA 2015 di Stadium Hoki Sengkang, semalam.

Malaysia, selaku juara bertahan, menepati ramalan apabila mudah menewaskan tuan rumah dengan jaringan pertama oleh Juliani Mohamad Din menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-14.

Hanis Nadia Onn pula menambah jaringan kedua skuad negara menerusi gol padang pada minit ke-25.

Sorakan penyokong tempatan tidak mematahkan semangat skuad bimbingan Mohammed Nasihin Nubli Ibrahim itu untuk menambahkan tekanan kepada pasukan lawan dengan jaringan ketiga oleh Rabiatul Adawiyah Mohamed selang seminit kemudian.

Sebelum tamat separuh masa pertama, Fazilla Sylvester Silin memberi kedudukan selesa buat Malaysia dengan jaringan padang pada minit ke-35.

Bersambung babak kedua, Surizan Awang Noh menambah jaringan kelima pada minit ke-44 diikuti Hanis Nadiah pada minit ke-48 menerusi pukulan sudut penalti.

Selepas itu, Juliani bertindak untuk melengkapkan kemenangan bergaya 7-0 menerusi jaringan pada minit ke-60.

Skuad negara akan bertemu Thailand hari ini.

Thailand turut mencatat kemenangan besar semalam selepas menewaskan Indonesia 9-0 dalam satu lagi perlawanan pusingan awal.

Dalam pada itu, skuad hoki lelaki negara turut memulakan langkah kanan selepas mengatasi Thailand 3-0.

Malaysia membuka jaringan seawal minit ketiga menerusi Aminudin Mohd. Zain dan Najmi Farizal Jazlan pada minit ke-24 untuk mendahului 2-0 pada separuh masa.

Bersambung babak kedua perlawanan, Najmi Farizal menjaringkan gol ketiga pada minit ke-43.

Malaysia, selaku juara bertahan akan berjumpa tuan rumah, Singapura esok.

Sementara itu, skuad ragbi lelaki negara mencatat dua kemenangan dan tewas sekali dalam tiga aksi acara ragbi tujuh sepasukan di Stadium Choa Chu Kang semalam.

Aksi pertama menentang Laos menyaksikan skuad negara tidak berdepan masalah membenam lawan mereka itu 40-0 sebelum menang 29-2 pada perlawanan kedua menentang Thailand.

Begitupun, mereka tewas 5-14 kepada tuan rumah, Singapura pada perlawanan ketiga.

Skuad negara akan mengharungi dua lagi perlawanan hari ini iaitu menentang Kemboja dan Filipina bagi melengkapkan saingan peringkat awal.

Skuad wanita pula memulakan langkah kanan pada aksi pertama apabila membenam cabaran Laos 17-0, namun nasib mereka sedikit dirundung malang apabila dibelasah 29-0 ketika bertemu Singapura.

Hari ini, mereka akan membuat perhitungan dengan Thailand dan Filipina bagi menentukan peluang mereka melangkah ke pusingan kedua.

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment