Thursday, June 4, 2015

‘Saya tidak pernah kalah teruk begini’

PEMAIN Malaysia, Mohd. Amirul Hisyam Awang Kechik (kanan) dikawal
PEMAIN Malaysia, Mohd. Amirul Hisyam Awang Kechik (kanan) dikawal rapi oleh kapten Vietnam, Ngoc Hai Que dalam perlawanan Kumpulan B Sukan SEA di Stadium Bishan, Singapura kelmarin. 

SINGAPURA – Jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee menganggap kekalahan 1-5 kepada Vietnam dalam perlawanan kedua Kumpulan B Sukan SEA kelmarin bukan saja menyukarkan laluan pasukannya untuk ke separuh akhir, malah kekalahan terburuk pernah dialami sepanjang kariernya.

Katanya, pemain negara kini tidak punya pilihan lain, kecuali mengalahkan Thailand hari ini, selain memenangi semua baki perlawanan menentang Brunei dan Laos merusi jaringan besar.

“Ini keputusan paling mengecewakan dan tidak pernah berlaku dalam mana-mana perlawanan sebelum ini.

“Kami tidak bermain baik dan melakukan dua kesilapan mudah yang menjadi punca kekalahan.

“Saya tak pasti dua sepakan penalti itu patut diberikan atau tidak. Yang pasti, Vietnam pasukan yang bagus dan menghukum kami menerusi kesilapan mudah,” kata Kim Swee.

Dalam perlawanan di Stadium Bishan, Singapura itu, perlawanan yang dijangka sengit sebaliknya bertukar mimpi ngeri buat Malaysia apabila membenarkan lawan mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.

Skuad bimbingan Toshiya Miura kemudian menambah gol ketiga, seminit selepas babak kedua bersambung, sebelum menambah gol keempat, tujuh minit kemudian.

Sekalipun Malaysia cuba bangkit menerusi jaringan pemain gantian, Syahrul Azwari berbaki 11 minit masa perlawanan, ia boleh dianggap gol sagu hati kerana kurang seminit, Vietnam meledak gol kelima.

Dalam pada itu, Miura turut mengakui pemain Malaysia ba­nyak melakukan kesilapan individu dan bukannya kesilapan taktikal.

“Bagi saya, pemain Malaysia banyak melakukan kesilapan individu. Bukan taktikal yang menjadi punca kekalahan mereka dan memberikan kemenangan buat kami,” katanya.

Kekalahan kepada Vietnam menyaksikan Malaysia tiada jalan selain menang perlawanan sukar menentang Thailand.

“Sekarang kami tiada pilihan lain kecuali melakukan segala-galanya ketika bertemu Thailand walaupun pemain keletihan.

“Seri atau tewas, kami akan tersingkir,” kata Kim Swee.

Sumber:Utusan Online

No comments:

Post a Comment