Thursday, June 4, 2015

Bersemangatlah Malaysia!


Pemain negara bagaikan tiada 'nafsu' mahu memburu pingat emas - Norza -

SINGAPURA - Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menyeru pemain bola sepak negara agar mempamer aksi lebih bersemangat apabila menentang Thailand dalam perlawanan ketiga Sukan SEA Singapura di Stadium Bishan, hari ini selepas kurang dilihat ‘bernafsu’ dalam dua perlawanan terdahulu.


Kekalahan 1-5 kepada Vietnam dalam perlawanan kedua Kumpulan B kelmarin memperlihatkan pemain skuad bawah 23 tahun negara bagaikan tidak begitu ghairah untuk memburu pingat emas.

Ini adalah kali kedua berturut-turut Malaysia mempamer aksi longlai selepas turut gagal me­nyerlahkan keupayaan sebenar ketika menang tipis 1-0 ke atas Timor Leste dalam aksi pembukaan.

“Selepas perlawanan bertemu Timor Leste lagi saya sudah cakap dengan (Datuk) Ong Kim Swee tentang permai­nan yang kita tunjukkan tidak memberi petanda seolah-olah kita hendak pingat emas, dan ia berlaku lagi ketika menentang Vietnam.

“Saya harap pemain serius dan tunjukkan prestasi baik kerana rakyat Malaysia meletakkan harapan yang tinggi terhadap bola sepak. Perkara itu boleh dilihat kepada kebanyakan publisiti be­rita sukan di negara kita, sekurang-kurangnya 70 peratus berkaitan bola sepak.

“Memang saya cukup sedih de­ngan pencapaian bola sepak kita selepas kalah 1-5 kepada Vietnam, yang mana dua penalti diberikan kepada lawan.

“Mereka kini ber­ada dalam keadaan tertekan kerana perlu mengalahkan Thailand jika mahu terus bersaing di Sukan SEA.

“Peminat berhak mendapat lebih baik daripada keputusan semalam (kelmarin), sekurang-kurangnya maruah negara tidak tercalar begitu teruk sekali pun kalah,” kata Norza.

Pasukan negara meraih keputusan terburuk sejak Sukan SEA 1999 di Brunei dan kekalahan paling besar dalam era bawah 23 tahun semenjak format ini mula diper­kenalkan pada tahun 2001 di Sukan SEA Kuala Lumpur.

Kekalahan paling besar yang dialami pasukan negara sebelum ini adalah pada Sukan SEA 1999 iaitu dibelasah 6-0 oleh Indonesia di saingan peringkat kumpulan.

Kini, skuad negara perlu bangkit menewaskan Thailand di Stadium Bishan, petang ini atau mereka boleh melupakan peluang beraksi di separuh akhir.

Sekiranya gagal menempatkan diri dalam saingan empat terbaik, ia akan mengakhiri rekod cemerlang Malaysia yang tidak pernah kandas di peringkat kumpulan sejak 2007.

Sementara itu, Norza mengesahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menghantar pulang Muhd. Nazmi Faiz Mansor setelah khidmatnya tidak dapat digunakan walaupun skuad negara berpeluang layak ke perlawanan akhir ekoran digantung enam perlawanan oleh Jawatankuasa Disiplin Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Saya boleh sahkan FAM akan hantar pulang Nazmi pada hari ini (semalam) setelah menerima penggantungan enam perlawanan.

“Keputusan ini memang patut dibuat kerana daripada mula lagi saya sudah katakan, sikap yang ditunjukkan oleh Nazmi bukan sesuatu yang boleh dijadikan contoh.

“Sebelum AFC menjatuhkan hukuman ini, bagi saya sewajar­nya dia patut dihantar pulang kerana tindakannya ini perlu dihukum agar memberi pengajaran kepada dirinya dan atlet lain,” katanya.

Sumber: Utusan Online

No comments:

Post a Comment