Wednesday, June 17, 2015

Sasar juara 2017! (Pencapaian 2015 memuaskan – Khairy)

 Khairy JAMALUDDIN mengibarkan bendera Persekutuan Sukan SEA sebagai simbolik Malaysia bakal menjadi
KHAIRY JAMALUDDIN mengibarkan bendera Persekutuan Sukan SEA sebagai simbolik Malaysia bakal menjadi tuan rumah pada 2017

SINGAPURA - Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2001, kontinjen negara muncul juara keseluruhan dengan mencatat rekod 111 pingat emas yang sehingga hari ini belum mampu dipecahkan dalam mana-mana temasya.

Justeru tidak hairanlah, biarpun tirai Sukan SEA 2015 baru dilabuhkan di Singapura semalam, perancangan rapi sudah dirangka untuk memastikan kontinjen negara mampu bergelar juara keseluruhan sekali lagi apabila Sukan SEA kembali ke Malaysia, dua tahun dari sekarang.

Kejayaan merangkul 62 emas, 58 perak dan 66 gangsa pada edisi ke-28 temasya di Singapura dianggap pemangkin terbaik buat Malaysia bagi memburu pencapaian yang lebih baik pada 2017, apatah lagi 52 peratus daripada atlet yang membentuk kontinjen negara kali ini berusia 22 tahun dan ke bawah.

Catatan 62 pingat emas juga merupakan pencapaian kedua terbaik Malaysia di luar Kuala Lumpur selepas Temasya Korat 2007, di mana kontinjen negara pulang bersama 68 emas. Malah, dengan mengumpul 186 pingat keseluruhan, ia juga melepasi sasaran 184 pingat (56 peratus) yang ditetapkan.

“Saya berpuas hati dengan prestasi kontinjen Malaysia di Singapura. Kali ini, 22 sukan menyumbang kepada emas keseluruhan negara dan fakta itu menunjukkan kita mempunyai asas yang kukuh menuju ke Sukan SEA 2017.

“Edisi 2015 dianggap Temasya pembangunan buat Malaysia, terutama dengan mengambil kira atlet berusia 21 tahun dan ke bawah membentuk 48 peratus kontinjen.

“Kita diwakili ramai atlet muda dan saya kagum dengan sumbangan serta prestasi mereka di sini,” kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Menurut Khairy lagi, Kementerian Belia dan Sukan bersama Majlis Sukan Negara, Majlis Olimpik Malaysia serta Institut Sukan Negara sudah mengadakan perbincangan dengan semua persatuan, dan mereka bersetuju menyenaraikan 2,310 atlet bagi fasa awal persiapan Sukan SEA 2017.

Thailand muncul juara keseluruhan di Singapura selepas mengumpul 95 pingat emas, 83 perak dan 69 gangsa dalam 36 sukan dan 402 acara yang dipertandingkan.

Tuan rumah di kedudukan kedua dengan 84 emas, manakala Vietnam ketiga menerusi 73 pingat emas.

Malaysia menduduki tempat keempat keseluruhan, di mana akuatik menjadi penyumbang terbesar emas iaitu 11 emas (lapan terjun, tiga renang).

Sementara itu, Sukan SEA 2015 ditutup dengan persembahan warna warni mengambil tema ‘Lahirnya Lagenda’.

Persembahan tersebut melibatkan 52 krew, 57 penari dan dua penyanyi, termasuk Najwa Mahiaddin.

Sumber: UTUSAN

No comments:

Post a Comment