Saturday, June 13, 2015

‘Pingat emas ini untuk mama’

“Pingat emas ini untuk mama,” kata penembak wanita negara Nur Ayuni Farhana Abd Halim yang tidak pening kepala lagi memikirkan hadiah ulang tahun kelahiran ibunya selepas memenangi acara 50m rifle tiga posisi individu wanita akhir Sukan SEA semalam.

Dengan catatan 446.7 mata, atlet berusia 25 tahun itu mengatasi saingan getir daripada Thailand Supamas Wankaew yang mengekori rapat menerusi 442.9 mata.

Gangsa pula menjadi milik seorang lagi penembak negara Nur Suryani Mohamed Taibi 433.5 yang pada mulanya hampir untuk memberikan penamat 1-2 kepada Malaysia.

Menurut Ayuni, jika sebelum ini dia hanya memberikan hadiah seperti jam tangan kepada ibunya, Khatijah Ismail namun kali ini ia lebih istimewa sempena hari jadi ke-53 Selasa lalu.

“Mama cakap, dia tak nak lain (hadiah), mama cuma mahu pingat emas, itu saja. Saya menghantar mesej pesanan ringkas (SMS) kepada mama pagi tadi (semalam) supaya mendoakan kejayaan saya.

“Memang rezeki saya hari ini (semalam) kerana ini acara terakhir saya. Memang ada tekanan masa final kerana penembak Thailand juga bagus, saya cuma fokus kerana saya memang sasarkan acara ini,” katanya.

Kejayaan itu mengubat kekecewaan Ayuni yang sebelum ini hanya merangkul perak dalam acara 10m air riffle berpasukan dan 50m riffle prone berpasukan serta 10m air riffle individu.

Malah, emas itu juga adalah yang pertama diraihnya dalam penampilan ketiga dalam acara tiga posisi selepas hanya memenangi gangsa di Palembang 2011.

Dalam acara sebelah pagi semalam, Ayuni bersama Nur Suryani dan Muslifah Zulkifli meraih perak acara 50m riffle tiga posisi berpasukan dengan mengutip 1718 mata dibelakang trio Thailand (1735) manakala Singapura gangsa (1710).

Malaysia turut menambah perak dalam acara trap lelaki individu oleh Chen Seong Fok yang sebelum itu bergandingan bersama Bernard Yeoh dan Ng Beng Chong bagi perak trap berpasukan.

Skuad menembak menutup tirai semalam dengan keseluruhan dua emas, lapan perak dan enam gangsa.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment