Sunday, June 14, 2015

Muhammad Rafiq Terpaksa Berpuas Hati Raih Pingat Perak

SINGAPURA, 14 Jun (Bernama) -- Pemain boling muda skuad elit negara, Muhammad Rafiq Ismail terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam acara Masters Lelaki pada Sukan SEA-28 yang berlangsung di Orchid Country Club di sini, malam Ahad.

Hasrat untuk meraih pingat emas keempat tidak kesampaian apabila pemain berusia 18 tahun itu, tewas kepada Yannaphon Larpapharat dari Thailand dalam saingan step ladder dengan 178-197 dan 203-217.

Pingat gangsa milik seorang lagi pemain negara Adrian Ang yang tewas kepada Yannaphon dalam saingan pertama step ladder dengan perbezaan satu pin sahaja iaitu 245-246.

"Ini pengalaman terbaik untuk saya sebab bermain menentang Yannaphon, salah seorang pemain terbaik di Asia. Ini kali pertama saya berlawan dengan dia dalam saingan step ladder.

"Saya agak sukar mencari lorongan dan sentiasa meninggalkan satu pin sahaja setiap kali balingan dan terpaksa buat 'spare'. Bila pihak lawan melakukan 'strike', ia beri tekanan kepada saya," katanya.

"Semasa permainan, saya terlampau berkehendakan pingat emas acara ini. Akhirnya ia menjadi penamat yang tidak manis untuk saya," katanya.

Pemain muda dari Selangor itu diletakkan sebagai pilihan pertama saingan step ladder selepas menjadi pendahulu 16 permainan dengan mengumpul 3,763 jatuhan pin iaitu 1,956 pin pada blok pertama semalam dan 1,807 pin dalam blok kedua hari ini.

Walaupun gagal memenangi pingat emas acara Masters, Muhammad Rafiq berjaya membawa pulang tiga pingat emas menerusi acara perseorangan, trio dan berpasukan.

"Saya bangga dengan prestasi saya di sini. Saya akan terus berlatih dengan lebih bersungguh-sungguh untuk mengatasi masalah yang saya lalui hari ini," katanya.

Selepas beraksi di Sukan SEA, Muhammad Rafiq akan berehat selama seminggu sebelum meneruskan latihan bagi menghadapi Kejohanan Boling Terbuka Dunia-WBT Major di Tokyo dari 9 hingga 12 Julai ini.

Sumber -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment