Thursday, June 11, 2015

Malaysia sapu bersih dua emas dalam acara skuasy perseorangan

SINGAPURA, 10 Jun (Bernama) -- Malaysia membuktikan status sebagai kuasa sukan skuasy di rantau ini apabila menyapu bersih dua pingat emas dalam acara perseorangan lelaki dan wanita pada Sukan SEA ke-28 di Pusat Skuasy Kallang, di sini, malam ini.

Pemain pelapis wanita, Rachel Arnold menerima saingan sengit daripada rakan senegara Vanessa Raj sebelum merangkul emas dengan keputusan 11-13, 11-9, 11-3 dan 11-5 dalam pertarungan selama 32 minit.

Kedua-dua pemain tersebut, yang menerima 'bye' sehingga pusingan suku akhir, masing-masing melangkah ke final selepas mengalahkan lawan masing-masing di separuh akhir pada sebelah pagi.

Rachel mengatasi pemain tuan rumah, Mao Shi Yuan dengan keputusan 11-4, 11-8 dan 11-8 manakala Vanessa menyingkirkan pemain Filipina, Jemyca Aribado dengan keputusan 11-3, 11-7 dan 11-6.

Dalam final acara lelaki, pemain negara Sanjay Singh Chal, selaku pilihan utama, menewaskan rakan sepasukan, Muhd Addeen Idrakie Bahtiar, 11-7, 11-3, 12-10.

Sanjay, yang turut menerima 'bye' sehingga pusingan suku akhir, menewaskan wakil Singapura, Samuel Kang 11-5, 11-3 dan 11-4 pada saingan separuh akhir manakala Muhd Addeen Idrakie mengalahkan seorang lagi pemain Singapura, Bryan Koh dengan keputusan 11-7, 7-11, 11-5, 3-11 dan 11-7.

Ketika mengulas kejayaan merangkul pingat emas, Rachel, adik kepada pemain nombor tiga negara, Delia, menyifatkan kejayaan itu sebagai aksi membalas dendam dengan cara manis selepas kalah kepada Vanessa pada Kejohanan SSJM di Pulau Pinang, dua minggu lepas.

"Kejayaan ini amat bermakna kerana ini adalah penampilan sulung saya dalam Sukan SEA. Saya boleh membantu skuad negara dalam memburu emas dalam acara berpasukan yang bermula esok," katanya.

Sementara itu, Sanjay berkata beliau gembira untuk mencapai kejayaan terbesar dalam kariernya biarpun menghadapi tekanan selaku pemain pilihan utama.

"Ini bagaikan mimpi menjadi kenyataan dan berharap pencapaian berganda dalam acara perseorangan ini dapat diulangi dalam acara berpasukan," kata pemain berusia 21 tahun dari Sarawak itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment