Wednesday, June 17, 2015

Malaysia Sambut Baton Tuan Rumah Sukan SEA ada Majlis Penutupan Edisi Singapura

SINGAPURA, 16 Jun (Bernama) -- Setelah beberapa hari memerah keringat dan mental untuk beradu kehebatan dalam pelbagai acara, para atlet akhirnya berpeluang untuk melupakan segala tekanan dan berpesta dalam acara penutup Sukan SEA ke-28 yang berlangsung dengan penuh meriah serta warna warni di Stadium Nasional Singapura di sini, Selasa malam.

Dalam acara penuh gilang gemilang yang sama meriahnya dengan upacara perasmian sukan dwitahunan beberapa hari lepas, Presiden Singapura, Dr Tony Tan Keng Yam secara rasmi menutup tirai Sukan SEA ke-28 yang kembali berlangsung di republik ini selepas 22 tahun.

Ribuan hadirin yang membanjiri venue pesembahan bersorak riang apabila pelbagai acara menarik temasya sukan bertemakan 'Celebrate' ini, ditayang kembali pada papan markah di stadium berkenaan.

Saat paling bermakna bagi para atlet ialah apabila mereka berarak masuk ke stadium mengikut kontinjen negara masing-masing, sama seperti pada upacara perasmian sebelum ini, dengan kebanyakaan mereka mengenakan pakaian trek sambil mengibarkan bendera kecil negara masing-masing.

Percikan bunga api beraneka warna menjulang di ruang udara stadium dan menimbulkan suasana meriah dalam kalangan orang ramai serta atlet dari 11 negara Asia Tenggara apabila Tan mengisytiharkan berakhirnya sukan itu dan mengajak para belia dari Asia Tenggara supaya berkumpul semula dua tahun lagi di Kuala Lumpur untuk menjayakan Sukan SEA ke-29.

Ketika Sukan SEA Singapura beransur-ansur melabuhkan tirainya, tumpuan warga rantau ini segera beralih kepada Malaysia, negara yang akan menjadi tuan rumah edisi Sukan SEA berikutnya pada 2017.

Presiden Majlis Olimpik Singapura, Tan Chuan Jin, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, menyerahkan bendera Persekutuan Sukan SEA kepada presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar, yang kemudian menyerahkannya pula kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, selaku pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA 2017.

Khairy kemudian mengebarkan bendera itu kepada para penonton, yang melambangkan penerimaan Malaysia untuk menjadi tuan rumah untuk kali keenam dalam sejarah sukan itu.

Sukan SEA 2017 melakar sejarah istimewa bagi Malaysia kerana sukan itu akan diadakan seiring dengan sambutan ulang tahun kemerdekaannya yang ke-60.

Setelah selesai upacara penyerahan bendera itu, sebuah kumpulan dari Malaysia naik ke pentas untuk menyampaikan persembahan menarik berjudul "Diversity in Motion".

Persembahan istimewa selama 10 minit arahan Mohammad Arifwaran Shaharuddin itu terbahagi kepada tiga segmen -- kelahiran, kekuatan asal usul dan perpaduan.

Diiringi alunan muzik berjudul "Lahirnya Lagenda" ciptaan seorang artis tanah air dan penulis lirik MonoloQue, persembahan ini mengisahkan tentang asal usul suatu idea dan suatu inspirasi, yang menjadi tunjang kewujudan Malaysia dan diakhiri dengan seruan agar dinyalakan tekad bagi mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu.

Persembahan itu, yang menggabungkan sumbangan 52 anggota kru, 57 penari dan dua penyanyi, termasuk Najwa Mahiaddin, mendapat sambutan hebat daripada para hadirin.

Hampir 7,000 atlet dari 11 negara peserta bersaing untuk merebut kemenangan dalam 36 acara yang dipertandingkan dalam temasya sukan ini.

Kontingen Malaysia, yang dianggotai 909 atlet dan pegawai, mengakhiri kempen dengan melakar pencapaian membanggakan, mengatasi jumlah pingat emas yang dimenanginya di Myanmar (43) dan Indonesia (58) pada 2013 dan 2011, dengan meraih 62 pingat emas, 58 perak dan 66 gangsa.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment