Sunday, June 14, 2015

Malaysia Lepasi Pencapaian Pingat Di Myanmar

SINGAPURA, 13 Jun (Bernama) -- Kontinjen negara kini sudah melepasi jumlah pungutan pingat emas yang diperolehi pada Sukan SEA ke-27 di Myanmar dua tahun lepas.

Pada temasya sukan itu kali ini, Malaysia sudah mencapai 45 pingat emas.

Selepas hari kesembilan, Malaysia kekal di kedudukan keempat dengan mengumpul sejumlah 147 pingat iaitu 45 pingat emas, 43 perak dan 59 gangsa.

Pada temasya di Myanmar dua tahun lepas, kontinjen negara mengumpul 158 pingat -- 43 emas, 38 perak dan 77 gangsa.

Acara sepak takraw menjadi tumpuan kontinjen negara hari ini kerana mengulangi pencapaian pingat emas acara regu lelaki selepas 10 tahun.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas acara tersebut adalah pada Sukan SEA 2005 di Manila, Filipina.

Acara akhir yang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Singapura, Malaysia yang dibarisi Farhan Adam (kapten), Mohd Hanafiah Dolah, Mohammad Syahir Mohd Rosdi dan Ahmad Aziat Mohd Nor Azmi menewaskan Laos 2-0 (21-10, 21-16).

Sementara skuasy seperti dijangka menyapu bersih empat pingat emas selepas memenangi dua lagi dalam acara berpasukan.

Bagaimanapun Malaysia tidak menyertai acara beregu yang pertama kali dipertandingkan dalam Sukan SEA kali ini.

Kontinjen Thailand terus mengatasi tuan rumah dengan 78 pingat emas, 74 perak dan 59 gangsa manakala Singapura dengan 74 pingat emas, 65 perak dan 94 gangsa.

Tuan rumah Sukan SEA 2003, Vietnam di kedudukan ketiga dengan 65 emas, 42 perak dan 55 gangsa.

Kontinjen Timor Leste meraih pingat perak pertama mereka selepas Rosa Luisa Dos Santos tewas kepada atlet Thailand Chanatip Sonkam dalam acara Taekwondo bawah 49kg wanita dengan 9-22 di peringkat akhir.

Terdahulu beliau menewaskan atlet Singapura, Nur Fadzlyn Mohd Zahruddin 13-0 pada saingan separuh akhir.

Acara tumpuan 'ibu segala pingat emas' iaitu bola sepak pula menyaksikan Myanmar mengalahkan Vietnam dengan 2-1 untuk bertemu Thailand, yang menewaskan Indonesia 5-0, pada perlawanan akhir pada Rabu ini.

Sumber: BERNAMA

No comments:

Post a Comment