Thursday, June 4, 2015

Kilauan emas cerah



Malaysia mencerahkan peluang mempertahankan emas acara bola jaring selepas mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang empat perlawanan setakat ini.

Di OCBC Arena petang semalam, skuad kendalian Aminah Asaari itu menang 82-24 ke atas Brunei sekali gus sah layak ke separuh akhir.

Berdasarkan keputusan itu, Malaysia menduduki tangga teratas kumpulan menerusi kelebihan jaringan berbanding pasukan nombor satu Asia, Singapura.

Hari ini, Malaysia akan menentang Thailand untuk perlawanan terakhir peringkat kumpulan dan Aminah berkata, anak buahnya akan mengamalkan corak permainan menyerang kerana mahu mengekalkan kedudukan selaku pendahulu.

“Jika kita berada di kedudukan teratas, kita akan menentang pasukan di tangga keempat manakala pasukan di tangga kedua akan bertemu pasukan di tangga ketiga.

“Apa yang perlu kita lakukan sekarang ialah terus memberi tekanan kepada Singapura kerana mereka adalah pasukan yang dianggap pilihan untuk memenangi emas di sini.

“Begitupun, saya yakin dengan kebolehan pemain kita dan berdasarkan kepada semangat mereka pamerkan, tidak mustahil emas dimenangi pada temasya terakhir di Kuala Lumpur 2001 akan dapat dipertahankan,” kata Aminah.

Mengulas kemenangan ke atas Brunei Aminah berkata, beliau tetap berpuas hati dengan prestasi pemainnya walaupun ada di antara mereka agak keletihan selepas mengharungi tiga perlawanan berturut-turut.

Katanya, beliau membuat beberapa pertukaran bagi memastikan semua pemainnya tetap cergas serta sentiasa bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa.

No comments:

Post a Comment