Friday, June 5, 2015

Emas pertama!

KATRINA (kanan) dan Zylane peraga emas sulung negara.

Lagu kebanggaan Negaraku berkumandang buat kali pertama di temasya Sukan SEA Singapura selepas pasangan negara Katrina Ann Abd Hadi/Zylane Lee mengungguli acara renang berirama duet di Pusat Akuatik OCBC, semalam.

Kemenangan diraih selepas wakil negara itu menyempurnakan rutin bebas final dengan mengumpul 75.5667 mata untuk jumlah keseluruhan 150.9103.

Pada rutin teknikal Selasa lalu Katrina dan Zylane mengumpul 75.3436 mata.

Bagi Katrina yang mengekalkan emas dimenangi di Palembang 2011 bersama Shareen Png, dia cukup berpuas hati dengan kemenangan itu apabila mengakui agak tertekan bagi mendapatkan emas pertama Malaysia
.
“Gembira sebab kami pada awalnya tertekan untuk mendapatkan pingat emas pertama Malaysia dan pungutan mata dengan atlet Singapura sangat rapat. Tapi kami tetap yakin kerana membuat persembahan lebih baik berbanding kelmarin,” kata atlet berusia 22 tahun itu.

Kejayaan yang diraih itu bukan mudah apabila mereka disaingi hebat pasangan tuan rumah Stephanie Chen Mei Qi/Crystal Yap Yu Hui yang mengumpul 149.8372 mata keseluruhan.

Gangsa menjadi milik pasangan Indonesia Claudia Suyanto/Feritrianti Anisa dengan 139.0880 mata.

Zylane pula berkata, kejayaan itu cukup bermakna selepas latihan keras dua bulan.

“Ini pingat emas pertama saya di Sukan SEA dalam acara duet, sebelum ini hanya berkumpulan. Ini cukup bermakna kerana kami berlatih lapan jam sehari selama dua bulan dan pengorbanan ini cukup berbaloi,” katanya.

Pingat itu yang kedua buat Katrina dan Zylane selepas mereka meraih perak dalam acara berpasukan kelmarin.

Sementara itu, dalam acara kombinasi bebas malam tadi, Malaysia sekadar meraih perak apabila tumpas kepada tuan rumah.

Pasukan yang dianggotai Katrina Ann Abdul Hadi, Foong Yan Nie, Gan Hua Wei, Gan Zhen Yu, Kwong Zhi Kei, Lee Yhing Huey, Lee Yiat Lum, Lee Yoat Xin dan Tasha Jane Taher Ali itu meraih 73.7333 mata keseluruhan berbanding Singapura, 77.0667. Indonesia, gangsa dengan 71.6667 mata.

Secara keseluruhan, sukan renang berirama yang menutup tirai semalam membawa pulang satu emas dan dua perak daripada temasya kali ini.

Sumber: Harian Metro


No comments:

Post a Comment